harisfadli@hmetro.com.my
Kajang: Kertas siasatan berhubung kemalangan maut membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang, Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang baru-baru ini sudah diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, suspek akan dibebaskan dengan jaminan polis sementara menanti keputusan laporan daripada Jabatan Kimia dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
Menurutnya, langkah itu penting bagi mengenalpasti punca sebenar kemalangan bagi melengkapkan siasatan.
“Tempoh reman suspek tamat esok dan akan dibebaskan dengan jaminan polis sehingga semua laporan dan analisa diterima.
“Pemeriksaan dan analisa berkaitan oleh pihak Jabatan Kimia dan PUSPAKOM akan dijalankan pada lusa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, setakat ini tujuh saksi sudah dipanggil bagi dirakam keterangan berhubung kemalangan maut itu manakala sebarang tindakan ke atas majikan dan pihak berkaitan sedang diteliti bersama agensi yang berkenaan.
Katanya, kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang parah sudah dipindahkan ke Hospital Putrajaya manakala seorang lagi masih dirawat di Hospital Kajang sementara penumpang Proton X70 sudah dibenarkan pulang.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, seorang bayi lelaki berusia setahun maut manakala lapan individu lain cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang, di sini 27 September lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




