lokman.khairi@hmetro.com.my
Sepang: Peserta sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang juga pelakon, Ardell Aryana berdepan dua kemungkinan selepas kapal Mikeno yang dinaikinya dikesan tidak bergerak pada jarak sekitar 10 batu nautika dari Gaza.
Sumud Nusantara Command Center (SNCC) menjangkakan Ardell Aryana sama ada masih berada di atas kapal atau sudah dipindahkan ke darat.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, analisis terhadap data penjejak (tracker) dan maklumat terkini menunjukkan kapal Mikeno sudah tidak bergerak.
“Melihat kepada apa yang berlaku di dalam tracker dan juga apa yang berlaku daripada maklumat-maklumat yang kita peroleh untuk kapal Ardell (Mikeno), kita menjangkakan bahawa Ardel tidak ada lagi di atas kapal. Ini kemungkinan yang pertama kerana kapal dia sudah tidak bergerak.
“Kemungkinan yang kedua adalah beliau masih lagi ada di atas kapal. Jadi pihak SNCC lebih kuat mengatakan bahawa mereka ini cepat ataupun lambat akan dipindahkan ke darat.
“Itu bukanlah sesuatu yang luar daripada jangkaan kerana daripada corak (misi kemanusiaan) sebelum ini, apabila berlakunya pintasan, tentera Israel akan bawa (sukarelawan) ke darat dan juga mereka lakukan soal siasat,” katanya.
Terdahulu Ardell atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin, menerusi IG story yang sempat dihantar memaklumkan bahawa tentera Israel bertindak menyekat talian internet dan menghalang capaian komunikasi ketika Kapal Mikeno yang dinaikinya dalam misi kemanusiaan itu berada di Zon Merah R3 sejak 9 malam tadi waktu Gaza.
© New Straits Times Press (M) Bhd




