am@hmetro.com.my
Kinabatangan: Seorang kanak-kanak dan wanita warga emas ditemukan lemas dipercayai dihanyutkan kepala air ketika cuba menyelamatkan diri dalam kejadian banjir di Kampung Bangkulut Imbak di sini, malam tadi.
Difahamkan, kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu terlepas daripada genggaman ibunya sebelum hanyut dibawa arus deras.
Mereka dipercayai cuba menyeberangi air yang melimpah di jalan raya untuk ke kawasan lebih tinggi dalam kejadian kira-kira jam 9 malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Hairi Otuh, berkata mereka menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.46 malam sebelum menghantar lima anggota ke lokasi kejadian.
Katanya, paras air sungai naik mendadak dipercayai akibat kepala air.
“Pasukan penyelamat hanya tiba di lokasi kira-kira jam 3 pagi kerana jarak yang jauh iaitu 169 kilometer dari balai.
“Mangsa pertama iaitu wanita warga Indonesia dikenali Darna Nosi, 79, ditemukan kira-kira 250 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Mangsa kanak-kanak, Haskif Abdullah@Hashim ditemui sekitar jam 4 pagi tadi, kira-kira 200 meter dari lokasi mangsa pertama,” katanya Ketika dihubungi di sini.
Hairi berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, operasi itu membabitkan anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pasukan Bomba Sukarela Tongod.
“Tiada operasi pemindahan dilakukan kerana air sungai surut sepenuhnya dan operasi ditamatkan kira-kira jam 5 pagi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




