PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penularan wabak Covid-19 dan kewujudan varian baharu dengan kadar jangkitan lebih tinggi membantutkan aktiviti dan rutin harian yang berkehendakkan menyambut Aidilfitri tidak seperti kelaziman.
Perdana Menteri berkata, pada tahun ini, sekali lagi umat Islam negara ini terpaksa menyambut Aidilfitri di rumah sendiri seperti tahun lalu.
Sudah pasti, katanya, beliau juga seperti ibu bapa yang lain merasa sedih pada pagi Syawal ini kerana tidak dapat bersama anak-anak dan menantu serta cucu kerana mereka dari lain daerah walaupun berada di Kuala Lumpur.
“Alhamdulilah, di pagi Hari Raya Aidilfitri hari ini saya berkesempatan menjadi imam solat sunat Aidilfitri di rumah bersama ahli keluarga dan pembantu rumah dalam suasana yang lain daripada biasa.
“Sedih dan sayu juga apabila takbir raya tahun ini hanya disahut jemaah yang terdiri daripada ahli keluarga, bukan seperti di masjid atau surau seperti mana sambutan sebelum wabak ini melanda negara.
“Saya akui memang amat sukar untuk menahan perasaan ketika bertakbir dengan hanya bertemankan beberapa makmum,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Muhyiddin berkata, bagaimanapun beliau amat bersyukur kerana di Malaysia masih dapat meraikan Aidilfitri dalam keadaan tenang tanpa ada pergolakan.
Kata beliau, masing-masing masih boleh bersama keluarga terdekat dan berhubung dengan mereka yang jauh menerusi telefon.
Sebagaimana orang lain, katanya, beliau juga menggunakan teknologi seperti Zoom untuk berhubung, menatap wajah dan berkomunikasi dengan ahli keluarga yang lain bagi melepaskan rindu biarpun tidak dapat bersama menyambut Aidilfitri yang mulia ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, kita pastinya mengenangkan nasib rakyat Palestin yang pastinya tidak dapat meraikan Aidilfitri, dibedil kediaman mereka oleh jet-jet dan roket-roket rejim Israel.
“Sungguh besar ujian yang terpaksa mereka tempuhi tatkala umat Islam yang lain sibuk merayakan Aidilfitri. Maka sama-samalah kita mendoakan agar Allah pelihara dan lindungi saudara kita di Palestin,” katanya.
Perdana Menteri pada masa sama mengajak semua masyarakat Islam sama-sama mensyukuri nikmat sebagai warga bumi bertuah ini tatkala negara lain dan dunia diuji dengan ujian yang amat getir.
“Semoga Allah SWT memakbulkan doa kita untuk melihat rantaian Covid-19 ini diputuskan secepat mungkin dan kita dapat menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.



