mhafis@mediaprima.com.my
Sepang: Sumud Nusantara Command Center (SNCC) mengesahkan 137 daripada 462 peserta Global Sumud Flotilla (GSF) dari beberapa negara yang ditahan telah dibebaskan dengan bantuan Kerajaan Turkiye.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Al-Kahery berkata, negara itu adalah Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Algeria, Maghribi, Itali, Kuwait, Libya, Mauritania, Switzerland, Tunisia, Jordan termasuk Malaysia yang sudah ditahan dan dibebaskan dengan bantuan Kerajaan Turkiye.
Menurutnya, SNCC mengajak semua pendokong untuk terus mendoakan agar delegasi GSF GSF yang masih dalam tahanan dapat dibebaskan segera.
“SNCC juga mengajak seluruh rakyat Malaysia terus bersatu hati dan melaksanakan solat hajat dan Qunut Nazilah agar perang di Gaza dapat dihentikan, segera merujuk kepada perkembangan positif dalam tempoh 48 jam atau mungkin sedikit dalam seminggu di antara pihak Hamas dan rejim Israel temui kata muktamad untuk Gaza dapat keluar dari peperangan.
“Kita juga menzahirkan ucapan jutaan terima kasih dan sangat terharu mewakili seluruh keluarga delegasi sekretariat serta rakyat Malaysia yang menjadi pendokong misi ini atas kepedulian dan kepimpinan Perdana Menteri.
“… serta pihak Kerajaan Malaysia yang begitu bersungguh-sungguh berusaha menggunakan hubungan erat diplomatik antarabangsa untuk negosiasi ini serta proses mengeluarkan 23 rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media harian di Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Central Warehouse, di sini, malam ini.
Beliau berkata, pihaknya juga menzahirkan ucapan terima kasih dan terharu mewakili seluruh keluarga delegasi kepada seluruh rakyat Malaysia yang menzahirkan sokongan yang luar biasa dalam mengikuti misi untuk mendesak dan juga membebaskan Gaza.
© New Straits Times Press (M) Bhd




