redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuantan: Wasco Berhad, kumpulan infrastruktur tenaga bersepadu yang berpangkalandi Pahang, melancarkan fasa kedua inisiatif penghijauan unggulnya dengan memperluaskan program Wasco Forest ke kawasan 670 hektar disertai visi jangka panjang untuk menanam sejuta pokok.
Fasakedua itu dibangunkan berasaskan kejayaan Wasco Forest Fasa Satu yang dilancarkan pada 2021,
membabitkan penanaman 160,000 pokok di kawasan 100 hektar dengan kadar kelangsungan hidup 87 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wasco Berhad, Gian Carlo Maccagno berkata, inisiatif itu tidak seperti kempen penanaman pokok biasa,
kerana fasa kedua memberi tumpuan kepada pemulihan hutan sekunder dengan menggabungkan spesies pantas tumbuh seperti kelampayan bersama spesies kayu keras termasuk merawan dan meranti.
Beliau berkata, inisiatif itu dipandu oleh kepakaran saintifik dan disokong oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dalam memastikan kombinasi spesies dan amalan silvikultur yang tepat dilaksanakan bagi memulihkan biodiversiti serta memperkukuh ekosistem.
“Hasil kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan perunding ESG Eco-Ideal Consulting Sdn Bhd.,Wasco melaksanakan pendekatan berasaskan sains untuk memastikan kesihatan hutan jangka panjang, pemulihan biodiversiti, dan penyerapan karbon yang boleh diukur.
“Kajian asas biodiversiti dan stok karbon (2025) sedang dijalankan, yang akan menjadi asas kepada pemantauan jangka panjang.
“Wasco mengunjurkan bahawa fasa satu sahaja berpotensi menyerap kira-kira 40,000 tan karbon dioksida menjelang 2040,” katanya dalam satu kenyataan media.
Majlis pelancaran fasa kedua itu disempurnakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan keberangkatan baginda diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta lebih 200 pemimpin korporat dan industri sebagai tanda sokongan padu terhadap inisiatif itu.
Menurut Maccagno, inisiatif itu adalah komitmen selama 30 tahun terhadap biodiversiti, komuniti dan sains.
“Daripada 160,000 pokok kepada visi sejuta pokok, Wasco Forest adalah legasi yang kami bina untuk generasi akan datang.
“Kami bermula pada 2021 kerana penyelesaian berasaskan alam semula jadi memerlukan masa.
“Pada masa sama, kami turut mengurangkan pelepasan di sumber melalui kecekapan tenaga di fasiliti, serta alternatif tenaga boleh diperbaharui dan bio. Langkah itu memastikan kami bertindak hari ini sambil melabur untuk esok,” katanya.
Tambah Maccagno,inisiatif dijalankan turut menyokong aspirasi Pahang mencapai Sifar Bersih 2030 dan komitmen negara di bawah Perjanjian Paris.
Di samping itu, ia mengiktiraf penghijauan mengambil masa puluhan tahun untuk memberikan manfaat iklim sepenuhnya yang mana Wasco memulakan program itu sejak 2021 bagi memastikan hasilnya dapat diukur untuk jangka panjang.
“Wasco turut menyeru syarikat korporat lain untuk menyertai inisiatif Wasco Forest dan bersama-sama memperluaskan impaknya.
“Menangani perubahan iklim memerlukan tindakan kolektif. Kami mengalu-alukan rakan industri dan rakan kongsi untuk bersama kami.
“Sama ada melalui sokongan terhadap usaha penghijauan, pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui, atau pengukuhan kelestarian dalam rantaian nilai. Bersama, kita boleh mempercepat kemajuan Malaysia ke arah Sifar Bersih,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




