Johor Bahru: Dua pemain remaja kebangsaan di bawah Program Pembangunan Remaja Kebangsaan (NJDP) anjuran Persatuan Golf Malaysia (MGA) terus mengharumkan nama negara apabila muncul juara dalam dua kejohanan antarabangsa yang berlangsung serentak di negeri Johor.
Di Tanjong Puteri Golf Resort, Kejohanan Jelajah Pembangunan Remaja Singapura (SJDT) 2025 menyaksikan Ammar Aiman Mohd Fauzi menampilkan aksi konsisten sepanjang tiga hari pertandingan untuk muncul juara keseluruhan.
Catatan par 69, 76, 71 melayakkannya menamatkan kejohanan dengan kelebihan meyakinkan, sekali gus meletakkan namanya dalam World Amateur Golf Ranking (WAGR).
Pelajar Kolej Komuniti Pasir Gudang itu menyifatkan kejayaan itu sebagai titik tolak penting dalam kariernya.
“Saya amat bersyukur dengan kemenangan ini. Ia membakar semangat saya untuk terus bekerja keras dan membawa nama Malaysia lebih tinggi di pentas antarabangsa,” katanya.
“Kemenangan Maverick dan Ammar adalah bukti bahawa pemain muda Malaysia kini setanding dengan peringkat antarabangsa. Mereka sudah bersedia menyahut cabaran sebagai pemain kebangsaan,” ujar Pengerusi NJDP, Mohd Fauzi Mesran.
Program NJDP MGA akan terus komited dalam membangunkan lebih ramai pemain pelapis bertaraf dunia melalui pendedahan kejohanan antarabangsa serta latihan berstruktur di bawah bimbingan jurulatih profesional.
© New Straits Times Press (M) Bhd




