redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Terima kasih semua yang ambil berat tentang saya. Ya Allah hebatnya susunan Engkau.”
Itu perkongsian terkini Muhammad Hareez Adzrami, 25, atau mesra disapa Haroqs salah seorang daripada 23 sukarelawan Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) selepas dibebaskan dari tahanan rejim Zionis.
Haroqs memuat naik hantaran itu di Instagram (IG) Story selepas lima hari ‘sepi’ dan tidak berkongsi sebarang perkembangan di media sosial.
Dalam hantaran sama, Haroqs turut meluahkan kesedihan melihat hantaran mengenainya selepas dibebaskan dari penjara.
“Saya menangis tanpa henti bila tengok satu ‘posting’ (hantaran) ini setelah saya dibebaskan dari penjara. In-Sya Allah, esok saya kongsikan cerita itu,” tulisnya.
Sementara itu, di Threads, Haroqs turut menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT atas kekuasaanNya berserta emoji hati.
“Alhamdulillah syukurilah Allah SWT Maha Kuasa,” tulisnya.
Perkongsiannya itu meraih lebih 10,000 tanda suka dan meninjau ruangan komen, rata-rata warganet gembira dan mengucapkan selamat kembali kepada Haroqs.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah Haroqs yang bersyukur kerana terpilih menyertai misi GSF kerana salah salah satu impiannya adalah menjejakkan kaki ke bumi Palestin.
Penyertaan Haroqs mendapat perhatian kerana menjadi salah seorang peserta termuda mengikuti misi berkenaan dan rata-rata warganet kagum dengannya malah memberi sokongan dengan harapan pemuda berkenaan selamat pergi dan pulang.
Bagaimanapun, Misi Haroqs yang menaiki Kapal Free Willy terbantut selepas dia bersama 22 sukarelawan GSF Malaysia yang lain diculik tentera Israel ketika di perairan antarabangsa sebelum dimasukkan ke penjara.
Sebelum itu, Haroqs sempat berkongsi di Threads yang kapal dinaikinya dihampiri tentera Israel.
Mereka sudah dibebaskan dan kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF akan tiba di tanah air malam ini dan dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 9.45 malam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




