Wellington: Brenton Tarrant, dalang serangan berdarah di dua masjid New Zealand pada 2019, gagal dalam usaha rayuannya untuk mengetepikan sabitan serta hukuman atas kesalahan membunuh 51 orang, menurut dokumen mahkamah.
Lelaki berusia 35 tahun itu sebelum ini mengaku melakukan pembunuhan beramai-ramai paling dahsyat dalam sejarah moden New Zealand dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada Ogos 2020.
Beliau membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan pada Februari lalu dengan mendakwa keadaan tahanan yang ‘menyeksa dan tidak berperikemanusiaan’ sepanjang perbicaraan menyebabkan dia tidak mampu membuat keputusan rasional ketika mengaku bersalah.
“Saya tidak mempunyai kerangka minda atau tahap kesihatan mental yang mencukupi untuk membuat keputusan termaklum pada masa itu,” dakwa Tarrant ketika prosiding berkenaan.
Bagaimanapun, panel tiga hakim menolak dakwaan itu dengan menyatakan mahkamah tidak menerima keterangan Tarrant mengenai keadaan mentalnya.
Mahkamah turut mendapati wujud percanggahan dalam keterangannya sendiri selain bercanggah dengan pemerhatian terperinci pihak berkuasa penjara serta penilaian pakar kesihatan mental ketika itu.
Hakim memutuskan bahawa pengakuan bersalah Tarrant dibuat secara sukarela tanpa sebarang paksaan atau tekanan.
Bukti yang dikemukakan juga jelas menunjukkan dia tidak mengalami sebarang kesan psikologi yang ketara akibat keadaan penahanan ketika membuat pengakuan
itu.
Mahkamah menegaskan bahawa cadangan rayuan sabitan Tarrant sama sekali tidak mempunyai merit dan fakta berkaitan kesalahan itu tidak lagi boleh dipertikaikan.
Tarrant menyerang jemaah di dua masjid di Christchurch pada 15 Mac 2019 menggunakan senjata separa automatik selain menyiarkan serangan itu secara langsung selama 17 minit.
Proses rayuan menjadi rumit seminggu selepas perbicaraan pada Februari lalu apabila dia cuba membatalkan rayuannya menggunakan “gelaran rekaan sendiri,” namun permohonan itu ditolak kerana tidak disertakan tarikh atau saksi.
Beliau kemudian memfailkan notis kedua yang lengkap dengan tarikh dan saksi serta menyatakan tidak mahu diwakili peguam kerana berpendapat rayuan itu boleh membawa kepada salah laksana keadilan.
Peguam yang mewakili mangsa yang terselamat dan keluarga mangsa menyifatkan keputusan mahkamah ini sebagai satu “kelegaan besar” kerana mereka terhindar daripada trauma perbicaraan semula.
© New Straits Times Press (M) Bhd




