aida_adilah@hmetro.com.my
Sepang: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyifatkan tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang memberikan asas penghakiman (Grounds of Decision) kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya, sebagai dakwaan sangat serius serta menjejaskan imej negara di pentas antarabangsa.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata beliau sudah meneliti “Grounds of Judgment” setebal 19 muka surat yang dikeluarkan FIFA bertarikh 6 Oktober dan menganggap kenyataan dalam dokumen berkenaan memberi implikasi besar terhadap integriti serta tadbir urus bola sepak negara.
Justeru, beliau mahu FAM segera memulakan proses rayuan bagi mempertahankan maruah bola sepak tanah air sebelum mengambil langkah penambahbaikan selepas keputusan itu.
“Saya membaca Grounds of Judgment bertarikh 6 Oktober dan saya lihat ia sangat serius. Dalam 19 muka surat itu, terdapat banyak kenyataan yang saya fikir selepas proses rayuan ini perlu ada penambahbaikan.
“Walaupun FAM menjelaskan ia berpunca daripada kesilapan teknikal oleh staf mereka, FAM perlu melengkapkan proses rayuan ini sebelum apa-apa kenyataan khas dibuat,” katanya ketika ditemui selepas menyambut kepulangan skuad olahraga para negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.
Beliau turut memahami kemarahan dan kekecewaan penyokong bola sepak tempatan terhadap situasi yang berlaku, namun menegaskan tumpuan ketika ini harus diberikan kepada usaha melengkapkan proses rayuan dalam tempoh ditetapkan.
“Saya faham semua peminat bola sepak tanah air semestinya marah dan kecewa, tetapi kita mesti terus bergerak ke hadapan. Saya mahu FAM segera lengkapkan proses rayuan dalam masa yang diberikan supaya kita tahu keputusannya dan boleh lakukan penambahbaikan,” jelasnya.
Hannah pada masa sama menegaskan skuad Harimau Malaya masih utuh dan perlu terus mendapat sokongan penuh penyokong menjelang aksi menentang Laos tidak lama lagi.
Terdahulu, FIFA mengenakan tindakan terhadap FAM serta menggantung tujuh pemain warisan Malaysia selepas siasatan berhubung isu dokumentasi dan pendaftaran pemain. Kes itu kini dalam proses rayuan rasmi yang dikendalikan oleh FAM dengan bimbingan peguam sukan antarabangsa.
Sementara itu, FAM menegaskan FIFA membuat kesimpulan yang tidak tepat dan tidak adil dalam laporan rasmi bertajuk “Notification of the Grounds of the Decision” bertarikh 6 Oktober 2025.
Dalam satu kenyataan, badan induk itu berkata pihaknya memandang serius beberapa kesimpulan yang dibuat Jawatankuasa Tatatertib FIFA, termasuk dakwaan berhubung isu pemalsuan dokumen pendaftaran pemain warisan.
“FAM memandang serius beberapa kesimpulan, khususnya dakwaan bahawa pemain-pemain ‘memperoleh dokumen yang dipalsukan’ atau dengan sengaja berusaha untuk mengelakkan peraturan kelayakan.
“FAM menegaskan tiada sebarang bukti yang menyokong dakwaan ini dikemukakan oleh FIFA. Segala dokumentasi dan penyerahan berkaitan kelayakan pemain telah disediakan, disahkan dan diuruskan sepenuhnya oleh FAM mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, semua pemain berkenaan bertindak dengan penuh niat baik, bergantung sepenuhnya kepada proses pengesahan dan pendaftaran yang dijalankan oleh FAM.
FAM kini diberi tempoh tiga hari untuk menjawab sebab-sebab yang dikemukakan di sebalik keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA, sebelum lima hari berikutnya untuk mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA.
Menurut laporan berkenaan, siasatan mendapati beberapa sijil kelahiran datuk dan nenek pemain yang dikemukakan oleh FAM tidak sepadan dengan rekod rasmi negara asal masing-masing.
Hasil semakan bersama pihak berkuasa luar negara menunjukkan individu yang dinamakan sebagai datuk atau nenek pemain terbabit bukan dilahirkan di Malaysia seperti dinyatakan dalam dokumen diserahkan kepada FIFA.
© New Straits Times Press (M) Bhd




