Lapangan Terbang Subang sedia 200 parkir tambahan

Lapangan Terbang Subang sedia 200 parkir tambahan

SEPANG: Ruang parkir Lapangan Terbang Subang akan dinaik taraf dan projek dijangka selesai menjelang suku ketiga 2021 dengan penambahan 200 petak parkir menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 1,000.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerja-kerja menaik taraf itu termasuklah antara lainnya memasang lampu sorot berkuasa tinggi dan menyediakan papan tanda arah yang lebih mudah.

“Apa yang lebih penting, kami akan memasang kamera pengawasan video (CCTV) canggih yang terkini bagi memastikan keselamatan pengguna yang berterusan.

“Keseluruhan ruang parkir adalah 34,484 meter persegi bagi 1,000 petak parkir,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh dalam kenyataan itu.

Menurutnya, dalam pelan Pembangunan Semula Lapangan Terbang Subang, MAHB menyasar untuk menyediakan potensi pertumbuhan optimum bagi penerbangan komersial dan segmen aeroangkasa di lapangan terbang itu sejajar dengan pelan nasional.

“Kami mahu meningkatkan keselesaan pengguna di Lapangan Terbang Subang dari segenap sudut. Membaik pulih parkir adalah satu daripada inisiatif yang kami ambil sebagai sebahagian daripada usaha menyediakan infrastruktur penting untuk kemudahan yang lebih lancar,” katanya.

Dua parkir yang akan dibaik pulih itu terletak di terminal dan Pusat MRO & Helicopter, bagi kemudahan orang awam serta kakitangan lapangan terbang yang bekerja dengan pelbagai pengendali.

Memandangkan lapangan terbang itu disasarkan menjadi hab aeroangkasa sehenti pilihan di rantau ini, MAHB menjangkakan pertumbuhan penyewanya dalam tempoh lima tahun pelan Pembangunan Semula Lapangan Terbang Subang.

Pelan itu merangkumi penyediakan perkhidmatan menyeluruh untuk menyokong pengendali dengan infrastruktur lengkap termasuk membangunkan kemudahan boleh sewa, iaitu hangar, bengkel kerja pembaikan membaiki komponen pesawat dan kemudahan pembuatan aero-struktur bagi pengendali pihak ketiga.

-BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top