Kejohanan Muay Thai kecoh peserta cuba serang penonton

Kejohanan Muay Thai kecoh peserta cuba serang penonton

TAIPING: Kejohanan Muay Antarabangsa Malaysia 2026 (MIMAC 3.0) di Dataran Warisan Taiping di sini semalam kecoh apabila seorang peserta dari Maghribi, Ousama Toqud, gagal mengawal emosi dan cuba menyerang penonton selepas dia disingkirkan dalam pertarungan kategori 68–70 kilogram.

Insiden bermula ketika Ousama menentang wakil Malaysia, Muhammad Nazifi Mat Nasir, 33, apabila petinju berkenaan didakwa melanggar peraturan selepas menendang muka lawannya ketika Nazifi sudah terjatuh hanya kira-kira 11 saat pusingan pertama bermula.

Tindakan tersebut menyebabkan pengadil membuat keputusan serta-merta menyingkirkan Ousama, sekali gus menghadiahkan kemenangan kepada wakil negara.

Keputusan itu mencetuskan kekecohan apabila penonton memprovokasi Ousama menyebabkan petinju itu cuba meluru ke arah penonton dari atas gelanggang.

Tindakan agresif itu bagaimanapun berjaya dikawal pihak keselamatan kejohanan sebelum keadaan kembali reda.

Lebih mencetuskan suasana panik, Ousama menendang pagar besi gelanggang ketika diiring keluar dari kawasan pertandingan, sekali gus mencetuskan kekecohan kecil antara penonton dan pasukan keselamatan.

Presiden Persatuan Tomoi Perak, Mohd Ezry Azamin Abdul Wahab berkata, insiden itu berpunca daripada pelanggaran peraturan pertandingan dan bukannya pergaduhan antara atlet.

Menurut beliau, peraturan Muay Thai menetapkan bahawa mana-mana petinju yang sudah jatuh tidak boleh diserang atau ditendang oleh lawan.

“Dalam kes ini, Ousama telah melakukan sepakan ke muka lawan ketika Nazifi sudah terjatuh, dan itu menyebabkan keputusan disqualified dibuat serta-merta.

“Memang ada sedikit ketegangan dalam kalangan penonton, tetapi ia berjaya dikawal dengan baik oleh pihak keselamatan dan polis bertugas,” katanya.

Difahamkan, seramai empat peserta dari Maghribi menyertai kejohanan itu yang merupakan penyertaan pertama mereka di Malaysia.

“Kita akan buat post-mortem selepas kejohanan ini bagi menilai semula insiden dan mengambil tindakan sewajarnya termasuk kemungkinan penggantungan jika perlu,” kata Mohd Ezry Azamin. – UTUSAN

Scroll to Top