'Tiba-tiba bertukar jahat, itu yang mereka susah terima' – Zulkifli Ismail

'Tiba-tiba bertukar jahat, itu yang mereka susah terima' – Zulkifli Ismail

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pelakon Zulkifli Ismail, 63, mendedahkan menerima kecaman ramai peminat ketika mengadakan sesi ‘live’ di media sosial TikTok nya.

Ia berikutan lakonannya sebagai Tan Sri Syed Abbas, bapa mentua yang jahat menerusi drama Andai Itu Takdirnya, meninggalkan kesan kepada penonton.

“Sebenarnya ini bukan kali pertama saya bawa watak antagonis. Saya pernah bawa watak begini dahulu. Tapi kali ini orang memang perasan. Maklumlah selama ini saya kerap bawa watak baik.

“Biasanya saya bawa watak sebagai polis, Datuk, cikgu-cikgu dan ustaz, tapi tiba-tiba bertukar jahat pula, itu yang mereka susah nak terima. Tambah lagi jadi bapa mentua yang jahat.

“Masa musim pertama, watak ini baik. Bila sambung musim dua ini, watak itu sudah bertukar jahat. Waktu saya dapat skrip saya tengok watak itu dan terfikir, bolehkah saya buat?,” katanya kepada Harian Metro.

Zulkifli berkata, dia cuba membawakan watak itu sebaiknya walau berbeza dengan karakter sebenarnya.

“Bila ditayangkan, alhamdulillah ramai orang yang marah. Kalau saya buat live kat TikTok itu ramai jugalah yang kecam, bapa mentua jahatlah dan macam-macam.

“Mereka sebenarnya marah kat watak Tan Sri Abbas itu. Tapi ada juga yang emosional. Tapi bila saya fikir balik, mereka marah itu maknanya saya dah berjaya bawa watak itu.

“Malah dekat Facebook pun ada yang komen yang terbawa-bawa marahkan watak-watak itu. Saya jawab juga, itu bukan saya jadi buat apa nak marah saya? Marah la Tan Sri Abbas.

“Mereka kata tak berkenan dengan dia. Saya jawab, saya pun tak berkenan dengan Tan Sri Abbas itu, jahat sungguh,” katanya.

Zulkifli berkata, emosinya sendiri terganggu ketika membawakan watak itu tetapi dia tidak pernah menolak sebarang tawaran kerana lakonan ada punca rezekinya sejak dahulu.

“Boleh saja saya bawa lagi watak begitu. Saya cuba kerana anggap kalau watak itu susah nak buat ia cabaran bagi saya. Saya akan cuba buat sebaik mungkin.

“Apa-apa pun saya hargailah apa saja komen peminat kerana itu pandangan mereka. Tapi kalau boleh saya nak selang selikan watak baik dan jahat selepas ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top