Kerajaan segerakan pembinaan sistem radar bagi kekang ancaman sempadan

Kerajaan segerakan pembinaan sistem radar bagi kekang ancaman sempadan

am@hmetro.com.my

Putrajaya : Usaha memperkukuh keselamatan sempadan negara perlu dipercepatkan khususnya melalui pembinaan sistem radar dan penambahan aset operasi bagi mengekang ancaman rentas sempadan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengarahkan sumbangan segera semua pihak amat penting dalam membantu negara menangani isu keselamatan terutama membabitkan aktiviti tidak bertanggungjawab oleh segelintir pihak di kawasan sempadan.

Beliau berkata, bagi memahami situasi sebenar di lapangan, lawatan bersama pelbagai agensi keselamatan termasuk polis, agensi Maritim serta Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sudah dilakukan selama dua minggu.

Katanya, lawatan berkenaan meliputi kawasan strategik seperti Bukit Kayu Hitam, Padang Besar serta beberapa lokasi di pantai timur Sabah yang mempunyai pulau berpenghuni dan tidak berpenghuni.

“Di Sabah sahaja terdapat 14 pulau berpenghuni dan 48 pulau tidak berpenghuni yang berpotensi menjadi titik pencerobohan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan kementeriannya di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Setiausaha KDN,Datuk Awang Alik Jeman dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

Terdahulu media melaporkan, sebuah lagi Remote Sensor Site (RSS) atau Tapak Sensor Jarak Jauh bakal dibina di Pulau Malawali bagi meningkatkan serta mengukuhkan kupayaan pemantauan terhadap sebarang pencerobohan di bahagian utara Sabah.

Saifuddin berkata berdasarkan keperluan semasa kerajaan telah memperuntukkan RM88 juta bagi membina RSS berkenaan yang diluluskan dalam pelan pusingan pertama RMK13.

“Ketika ini RSS Balambangan hanya dapat memantau 70 peratus kawasan pemantauan di bahagian utara Sabah, namun apabila RSS Malawali siap dibina kelak ia akan dapat membantu memantau seluruh kawasan di bahagian utara berkenaan,” katanya.

Saifuddin berkata, antara kelemahan utama penguatkuasaan sempadan ketika ini adalah kekurangan aset serta keupayaan radar yang belum menyeluruh, sekali gus mewujudkan kawasan ‘blind spot.’

Katanya, sistem radar memainkan peranan penting dalam memberi maklumat awal kepada pasukan keselamatan untuk mengesan dan bertindak terhadap sebarang ancaman.

“Melalui radar, data dianalisis dan sasaran dikenal pasti sebelum aset dikerahkan untuk operasi penahanan. Tanpa liputan radar yang mencukupi, tindakan pantas sukar dilaksanakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya projek pembinaan radar di Pulau Malawali, Sabah disegerakan selepas diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.

Menurut beliau, walaupun peruntukan sudah diluluskan, pelaksanaannya masih belum mencapai tahap memuaskan. Isu kelewatan ini perlu ditangani segera kerana ia membabitkan kepentingan keselamatan negara.

Katanya, selain itu, kelulusan pembinaan enam pos keselamatan tambahan di kawasan strategik juga perlu dipercepatkan agar dapat digunakan sepenuhnya oleh pasukan keselamatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top