Aktivis dan personaliti media sosial, Farah Lee menyeru rakyat Malaysia memakai baju T putih sebagai simbol tudung ketika hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini.
Menerusi satu perkongsian di Instagram, Farah berkata meskipun aktivis wanita diuji apabila ada tudung yang direntap ketika menjadi tahanan namun mereka akan tetap berusaha menutup aurat.
BACA: Belum Sampai Malaysia, Farah Lee Minta Izin Nak Sertai Misi Lagi
“Pasukan Pertahanan Israel (IOF) sangka mereka sudah menjatuhkan maruah wanita Muslim, tetapi mereka lupa, selagi ada sehelai benang pada tubuh, kami akan tetap berusaha menutup auratnya dengan penuh harga diri.
“Tudung saya dirampas ketika dalam tahanan Israel, walaupun saya bertegas mempertahankan hak sebagai seorang muslimah. Saya terpaksa menggunakan baju T putih tahanan untuk menutup kepala dan rambut demi menjaga maruah diri,” tulisnya.
Sementara itu, Farah mengajak orang ramai untuk bersolidariti dengan mengenakan baju T berwarna putih sebagai satu bentuk simbol hijab delegasi Muslim yang dirampas oleh tentra Zionis.
“Mari kita sama-sama penuhi KLIA dengan berpakaian baju T putih sebagai simbol hijab, tanda sokongan dan kasih terhadap delegasi wanita Malaysia serta wanita di Palestin yang terus berjuang dalam penindasan,” katanya.




