Terus Cipta Nama Sebagai Jurusolek Selebriti, Azmier Hisyamuqris Jadikan Pesanan Arwah Ayah Sebagai Azimat

Terus Cipta Nama Sebagai Jurusolek Selebriti, Azmier Hisyamuqris Jadikan Pesanan Arwah Ayah Sebagai Azimat

Jurusolek selebriti, Azmier Hisyamuqris, 32, mendedahkan pemergian ayah tercinta pada penghujung September lalu meninggalkan kesan mendalam dalam hidupnya.

Menurut pemilik nama penuh Azmier Hisyamuqris Juadio Mading ini, kehilangan insan yang paling banyak menyokongnya itu membuatkan dunia terasa kosong seketika.

Hampir hilang arah selepas ayahnya, Juadio Mading @ Azlan Abdullah pergi, Azmier mendedahkan sejak kecil, arwah menjadi sumber kekuatan dan inspirasi untuknya menapak dalam dunia solekan yang diceburi sejak di bangku sekolah.

Dorongan serta sokongan keluarga, khususnya ayahnya, menjadi pendorong utama untuk terus berusaha mencapai cita-cita.

Tidak mahu terus tenggelam dalam duka, anak jati Lahad Datu ini menjadikan kehilangan itu sebagai semangat baharu untuk terus maju.

“Selepas ayah pergi, saya hilang motivasi untuk bekerja dan rasa hidup tidak seperti dulu. Namun saya sedar, arwah pasti mahu saya teruskan perjuangan ini. Kata-kata semangat yang pernah diberinya saya jadikan kekuatan untuk bangkit semula,” katanya.

Azmier tidak pernah lupa pesanan arwah ayahnya agar sentiasa membantu keluarga dan menghormati orang lain.

“Ayah selalu ingatkan supaya tidak menyusahkan sesiapa walau dalam keadaan susah. Pesanannya untuk jaga ibu baik-baik akan saya pegang sampai bila-bila. Walaupun saya tidak lagi dengar ucapan tahniahnya, nasihat itu cukup untuk saya terus kuat,” ujarnya.

Kini, Azmier terus mencipta nama dalam dunia solekan profesional dan menjadi antara jurusolek pilihan ramai selebriti serta jenama ternama.

Antara pencapaian terkininya termasuk dilantik sebagai jurusolek rasmi organisasi Miss Universe Malaysia (MUMO) serta bakal mengiringi Miss Universe Malaysia 2025, Chloe Lim, ke pertandingan antarabangsa pada November ini.

Bagi Azmier, kepercayaan besar itu menjadi bukti bahawa setiap titisan air mata dan perjuangan selama ini akhirnya berbaloi.

Scroll to Top