Nak kejar untung ratusan ribu, wanita rugi lebih RM450,000

Nak kejar untung ratusan ribu, wanita rugi lebih RM450,000

am@hmetro.com.my

Segamat: Gara-gara teruja mahu meraih pulangan hingga ratusan ribu ringgit, seorang wanita kerugian lebih RM450,000 selepas diperdaya sindiket pelaburan saham yang tidak wujud.

Mangsa, pekerja syarikat swasta berusia 34 tahun mendakwa terjebak dengan sindiket itu selepas tertarik dengan iklan pelaburan saham di Facebook.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, selepas tertarik dengan tawaran itu, mangsa kemudiannya menghubungi seorang wanita tidak dikenalinya.

Menurutnya, wanita itu diminta memuat turun aplikasi bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai pelaburan yang menjanjikan keuntungan berlipat ganda.

“Disebabkan terlalu teruja, mangsa melakukan 15 transaksi pemindahan wang ke dalam lapan akaun berbeza yang diberikan suspek bermula 1 Ogos hingga 30 September lalu dengan keseluruhannya RM450,750.

“Namun, mangsa tidak menerima pulangan seperti dijanjikan dan mula berasa tertipu lalu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, semalam,” katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, susulan laporan itu, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai dinasihatkan lebih cakna dengan trend semasa jenayah komersial serta tidak mudah percaya dengan tawaran pelaburan menjanjikan keuntungan tinggi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top