am@hmetro.com.my
Shah Alam: Pekerja warga Indonesia maut selepas terkena pengorek jengkaut yang berpusing selepas disyaki hilang kawalan, di tapak pembinaan sebuah rumah di Sungai Yu, Tanjong Karang, dekat sini, semalam.
Susulan kejadian 3 petang itu, lelaki berusia 44 tahun itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tanjong Karang.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan ketika pemandu jengkaut berumur 38 tahun melakukan kerja, ‘level’ kawalan pengorek kenderaan berat itu mengalami kerosakan.
“Ia kemudian hilang kawalan dan berpusing lalu terkena mangsa yang juga buruh binaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Azaharudin berkata, mangsa yang dibawa ke hospital, bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada 5.05 petang.
Jelasnya, siasatan masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




