Pemandu sebabkan kerosakan 6 kenderaan di Stesen KTM Ipoh didenda

Pemandu sebabkan kerosakan 6 kenderaan di Stesen KTM Ipoh didenda

am@hmetro.com.my

Ipoh: Pemandu van yang menyebabkan kerosakan terhadap enam kenderaan di kawasan parkir Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) Ipoh, Ahad lalu didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret, Anis Hanini Abdullah selepas tertuduh, R Vikneshwaran, 42, mengaku bersalah terhadap dakwaan itu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa sebagai pemandu van memandu kenderaan itu dengan tidak cermat dan perhatian sepatutnya terhadap orang lain.

Kesalahan itu dilakukan di perkarangan Stesen KTM Ipoh, di sini, 2.54 pagi 5 Oktober lalu.

Ia justeru adalah kesalahan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2020 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 namun tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga 12 bulan serta lesen memandu diendose (dicatatkan) dengan sabitan.

Kejadian terbabit tular melalui video Facebook sejak Ahad lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amal Aziemah Abs Kohar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top