Agrikomoditi sumbang hampir 90 bilion ringgit kepada KDNK

Agrikomoditi sumbang hampir 90 bilion ringgit kepada KDNK

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Agrikomoditi menyumbang hampir 90 bilion ringgit kepada Keluaran Dalam Negeri (KDNK) dan lebih 12 peratus eksport negara tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, industri sawit umpamanya mengungguli eksport dan menyumbang seperempat pengeluaran dunia.

“Kejayaan ini harus dilipatgandakan dengan meningkatkan automasi dan meneroka pasaran baharu.

“FELDA, RISDA dan FELCRA akan terus melindungi lebih 720 ribu peneroka, pekebun kecil serta keluarga mereka dengan peruntukan hampir 2.4 bilion ringgit.

“Kejayaan mengambil alih FGV untuk kembali bersama FELDA membuktikan komitmen MADANI mendengar denyut nadi warga peneroka, dengan hasrat agar FELDA kembali mengangkat martabat peneroka ke puncak kejayaan yang lebih tinggi,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 Malaysia Madani di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, berkat penemuan saintifik, kita berjaya menangkis tohmahan barat terhadap sawit.

“Ini terbukti menerusi peningkatan eksport terutamanya ke China dan India.

“Sebanyak 63 juta ringgit diperuntukkan untuk memperhebat Kempen Menangani Anti minyak Sawit dan menggalakkan pensijilan mampan termasuk oleh pekebun kecil persendirian.

Katanya, bagi mengurangkan kebergantungan pekerja asing dan menggalakkan inovasi tempatan, 20 juta ringgit disediakan bagi menyokong syarikat mula niaga mengeluarkan produk mekanisasi dan automasi.

“Inisiatif ini akan dilaksanakan dengan kerjasama MPOB dan syarikat utama sawit,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top