Misi FFC x TMTG: 9 aktivis Malaysia dijangka tiba di ibu negara Ahad ini

Misi FFC x TMTG: 9 aktivis Malaysia dijangka tiba di ibu negara Ahad ini

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sembilan rakyat Malaysia yang ditahan Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) sebelum dibebaskan hari ini, dijangka pulang ke tanah air, Ahad ini.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dalam perkongsiannya di Facebook (FB) berkata, mereka akan akan menaiki penerbangan dari Instabul, Turkiye.

“Alhamdulillah warga Malaysia yang ditahan oleh regim zionis Israel selamat sampai di Istanbul sebentar tadi.

“Mereka akan bertolak balik menaiki pesawat Turkish Airlines TK60 pada Ahad jam 1.40 pagi dari Istanbul dan dijangka sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5.05 petang, Insya-Allah,” tulisnya.

Terdahulu, media melaporkan sembilan kapal termasuk kapal Conscience yang dalam perjalanan ke Gaza dipintas tentera Israel ketika berada di kedudukan kira-kira 120 batu nautika (zon kuning).

Kesemua rakyat Malaysia itu adalah ketua misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali; Dr Fauziah Hassan; Dr Hafiz Sulaiman; Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi; wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil; dua pensyarah iaitu Prof Dr Mohd Afandi Salleh serta Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.

Seorang lagi wakil Malaysia iaitu Dr Maziah Muhammad berada dalam kapal Umm Saad.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top