Sungai Kelantan saksi solidariti untuk Gaza

Sungai Kelantan saksi solidariti untuk Gaza

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Hampir 1,000 bot memenuhi Sungai Kelantan di sini, sambil mengibarkan bendera Palestin sebagai tanda solidariti untuk Gaza.

Program itu disertai hampir 10,000 peserta yang menaiki bot masing-masing yang berarak bermula dari Kampung Pulau Pisang sehingga ke Lembah Sireh dengan jarak sejauh lapan kilometer.

Selain kibaran bendera, laungan Allahuakbar dan ‘Free Palestin’ turut dilaungkan bagi menimbulkan semangat sekaligus menghayati perjuangan aktivis yang sama-sama berjuang membantu Palestin.

Timbalan Pengerusi Persatuan Pemilik Bot dan Rakit Pasir Pekan, Mohd Roshidi Mamat, berkata, program itu menyasarkan penyertaan sebanyak 500 bot sahaja dan semakin hampir hari kejadian, penyertaan semakin bertambah.

“Kami menerima penyertaan sebanyak 780 bot dan hari ini ada lagi bot persendirian yang menyertai menjadikannya lebih 1,000.

“Seawal jam 2.30 petang lagi peserta sudah berkumpul di jeti Pulau Pisang sebelum memulakan perjalanan sejauh 8 km menuju ke Lembah Sireh yang menjadi lokasi utama program.

“Program ini adalah sebagai tanda solidariti rakyat Kelantan untuk penduduk Palestin selain simbolik kepada rombongan aktivis yang membawa bantuan ke Gaza baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Roshidi berkata, pelbagai jenis bot yang menyertai perarakan antaranya kelas A, C dan fiber dengan diwakili sama ada persatuan bot, agensi kerajaan dan swasta serta orang perseorangan.

Katanya lagi, ada juga pengisian lain yang diselitkan termasuk ceramah agama serta persembahan nasyid di atas bot sebelum program tamat jam 7 malam.

Seorang peserta, Baharum Che Ishak, 45, berkata, dia sanggup membelanjakan sejumlah kos untuk isian petrol botnya bagi menyertai perarakan itu bersama anak lelakinya yang berusia 10 tahun.

“Setiap kali ada perarakan solidariti Gaza di sungai memang saya tak lepaskan peluang termasuk acara yang sama minggu lalu.

“Ia tanda solidariti saya kerana untuk pergi sendiri ke sana (Palestin) tidak mampu, cukuplah sekadar sertai perarakan sebegini dengan kibarkan bendera Palestin,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top