am@hmetro.com.my
Kuala Nerus: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yakin peruntukan sebanyak RM580 juta bagi industri sukan negara dalam Belanjawan 2026 mampu menjadi pemangkin kepada lebih banyak pelaksanaan program pembangunan atlet.
Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd Halim berkata, penambahan peruntukan itu berbanding tahun lalu akan memperkukuhkan lagi program pembangunan atlet melalui program Road To Gold (RTG), Program Podium dan Program Pelapis.
Beliau berkata, lebih banyak fasiliti, kemudahan dan program pembudayaan sukan dapat dijalankan, sekali gus memperkukuh lagi ekosistem sukan dalam negara.
“Secara keseluruhan bajet pembangunan sukan melalui agensi di bawah Kementerian Belia Dan Sukan menerima peningkatan peruntukan, sama seperti kementerian lain.
“Ia membuktikan komitmen kerajaan MADANI dalam memastikan bahawa fasiliti sukan, pembangunan atlet dan program-program pembudayaan sukan dapat disemarakkan,” katanya selepas merasmikan Hari Sukan Negara 2025 (HSN2025) di Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu Hishamuddin Abdul Karim.
HSN2025 mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan lebih 8,000 peserta menghadiri program berkenaan.
Adam Adli berkata, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) boleh dilaksanakan semula bagi membina kembali jati diri dan semangat kenegaraan dalam kalangan golongan muda.
Katanya, program rintis yang dilaksanakan di institusi pendidikan tinggi (IPT) pada tahun depan membolehkan persediaan dan penilaian dibuat sebelum pelaksanaan penuh pada 2027.
Menurutnya, program berkenaan (PLKN) peluang untuk golongan belia membabitkan diri dalam program yang mampu menanamkan semangat kecintaan terhadap negara.
“Pengisian program dalam PLKN lebih berstruktur dapat membina anak muda yang lebih beridentiti, bersahsiah dan cinta kepada negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




