Shah Alam: Pasukan bola sepak sekolah sekitar Selangor dan Kuala Lumpur bersemangat membara menjelang sepak mula edisi sulung Kejohanan Bawah 12 Tahun (B-12) F&N Piala Magnolia yang bakal berlangsung di Kuala Selangor, minggu depan.
Sebanyak 16 pasukan, semuanya juara kejohanan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD), akan berentap merebut gelaran berprestij pada kejohanan yang julung kali diadakan itu.
Penganjuran Piala Magnolia F&N yang disokong Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) Kementerian Pendidikan (KPM) itu dilihat sebagai platform penting dalam usaha mencungkil bakat bola sepak di peringkat akar umbi.
Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana, Sungai Buloh yang dilantik sebagai tuan rumah, kini giat mempersiapkan diri dengan sasaran untuk mencipta impak di gelanggang sendiri.
Pengurus pasukannya, Mohd Zubaidi Mat Akhir berkata, kejohanan berkenaan amat signifikan kerana menghimpunkan juara-juara sekolah dari seluruh Selangor dan Wilayah Persekutuan buat pertama kali.
“Kejohanan ini unik kerana buat julung kali, semua johan MSSD dari dua negeri akan berentap dalam satu pentas. Kami gembira bukan sahaja diberi peluang menyertai, malah menjadi tuan rumah bagi edisi pertama ini.
Semangat pemain memang tinggi dan kami tak sabar untuk bermula,” katanya.
Menurutnya, skuad SK Seri Pristana yang diketuai Abid Harraz Asyraf Fitri menjalani tiga sesi latihan seminggu sejak Mac lalu, selain mengadakan beberapa perlawanan persahabatan sebagai persiapan menghadapi cabaran sebenar.
Pasukan itu diundi dalam Kumpulan D bersama SK Bandar Baru Salak Tinggi, SK Taman Tun Teja dan SK Sultan Hishamuddin Alam Shah.
Kejohanan Piala Magnolia F&N akan berlangsung dari 14 hingga 16 Oktober ini, menampilkan format sembilan sebelah dengan penyertaan 10 pasukan dari Selangor, empat dari Kuala Lumpur dan dua dari Putrajaya.
Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati bagi merebut trofi utama kejohanan yang menjadi simbol permulaan baharu pembangunan bola sepak sekolah rendah di negara ini.
Kejohanan ini dilancarkan pada 22 Ogos lalu dan dirasmikan oleh Pengarah BSKK KPM, Ithnin Mahadi bersama Pengarah, Kerajaan & Industri Engagement F&N Holdings Berhad, Norazrin Norsyam Yee serta Presiden Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM), Norismadi Manap.
© New Straits Times Press (M) Bhd




