KUALA LUMPUR – Sesi temu mesra bersama novelis thriller terkenal, Ramlee Awang Murshid di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) mendapat sambutan luar biasa apabila peminat sanggup beratur panjang demi bertemu penulis kesayangan mereka.
Ratusan pengunjung hadir dan menyifatkan karya Ramlee terus relevan dan diminati kerana keupayaannya mengangkat perkara yang dianggap biasa menjadi luar biasa, sekali gus menjadikan beliau antara novelis paling berpengaruh dalam dunia sastera popular tanah air.
Bekas Editor Impiana, Faizal Oda, 52, berkata, kekuatan utama karya Ramlee terletak pada kemampuannya mengupas perkara sering dianggap remeh oleh masyarakat sehingga menjadi sebuah karya yang hebat dan merangsang pemikiran pembaca.
“Sambil membaca dan berfikir, kita sebenarnya diajar untuk tidak memandang remeh terhadap sesuatu perkara. Kadang-kadang, masyarakat cenderung menganggap sesuatu isu itu biasa sahaja.

Peminat Ramlee sanggup beratur panjang di luar dan dalam reruai Karangkraf demi bertemu penulis kesayangan mereka.
“Walhal, jika isu berkenaan dikupas dengan baik, ia mampu dijadikan sebuah karya yang amat hebat, sekali gus merangsang minda kita,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada sesi temu mesra di reruai Karangkraf pada Ahad.
Menurutnya, Ramlee merupakan seorang penulis yang berfikir di luar kotak kerana berupaya mengangkat subjek yang ringan menjadi sesuatu yang serius untuk difikirkan oleh masyarakat.
“Beliau sememangnya seorang penulis di luar kotak. Benda-benda yang selalu dipandang remeh diangkat menjadi sesuatu yang serius dan akhirnya menjadi sumber inspirasi yang mendalam kepada para pembaca,” ujarnya.
Sementara itu, Fazrul Asri Abdul Musa, 46, dari Shah Alam berkata, beliau hadir ke program berkenaan khusus untuk mendapatkan tandatangan Ramlee pada novel Rubah Putih.
“Saya datang hari ini untuk mendapatkan tandatangan Tuan Haji Ramlee Awang Murshid pada novel beliau yang berjudul Rubah Putih.

Fazrul Asri (kanan) dari Shah Alam dan Nur Syakira Alia (kiri) dari Sungai Buloh
“Sebenarnya, saya sudah lama ingin memiliki novel ini, namun baru berpeluang mendapatkannya hari ini.
“Tambahan pula, Tuan Haji Ramlee turut mengadakan sesi bersama peminat, jadi saya tidak mahu melepaskan peluang untuk hadir dan bertemu beliau secara langsung,” ujarnya.
Bagi Nur Syakira Alia Shukri, 22, dari Sungai Buloh, peluang bertemu secara langsung dengan penulis yang diminatinya itu merupakan pengalaman yang cukup bermakna.
Beliau berkata, karya Ramlee berjaya menarik minatnya terhadap dunia pembacaan menerusi gabungan elemen aksi, misteri dan sejarah yang disampaikan secara kreatif dan berbeza.
Ramlee dikenali menerusi pelbagai karya popular yang menjadi kegemaran pembaca antaranya Tombiruo, Semangat Hutan Kemasul, Rubah Putih, ADAM, Mandatori, Mikhail serta siri epik Laksamana Sunan yang merangkumi Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu dan Hijab Sang Pencinta.
Sebahagian karya beliau turut diadaptasi ke layar perak dan platform penstriman, sekali gus memperluaskan pengaruh penulis kelahiran Papar, Sabah itu kepada khalayak yang lebih luas.
Sesi temu mesra di reruai Karangkraf sempena PBAKL 2026 di WTCKL itu turut menyaksikan peminat memenuhi ruang acara untuk mendapatkan tandatangan, bergambar dan beramah mesra dengan Ramlee, membuktikan pengaruh serta aura beliau dalam kalangan pembaca masih utuh meskipun sudah puluhan tahun berkarya.



