essabuyamin@bh.com.my
Seremban: Perbuatan khianat sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
Ia bagi membolehkan siasatan dan tindakan diambil mengikut undang-undang.
Ketua Penerangan Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata perkara itu susulan aduan diterima daripada calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr Azizul Hakim Mahdi, berhubung beberapa papan iklan kempennya yang dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.
“Tindakan khianat seperti ini kita serah kepada pihak berkuasa untuk siasat dan ambil tindakan. Ia satu kesalahan.
“Ada juga beberapa hantaran dalam Facebook yang seolah-olah menunjukkan pihak merosakkan papan iklan berkenaan.
“Kita ingatkan semua pihak untuk berkempen dengan sihat dan asaskan kempen pada idea dan fakta, bukan fitnah atau tindakan khianat,” katanya selepas melawat Gerai MPS Stadium Paroi, di sini, hari ini.
Mengulas perjalanan kempen secara keseluruhannya sepanjang lima hari pertama, Fahmi berkata, suasana di semua pihak bertanding berjalan baik serta terkawal.
Beliau berkata, pergerakan kempen parti-parti politik kini masih berada di peringkat awal.
“Ini baru minggu pertama, jadi ramai yang mungkin masuk ‘gear dua’, belum lagi ‘gear enam’.
“Kita jangkakan menjelang minggu depan suasana akan lebih hangat dan insya-Allah dalam hari-hari mendatang lebih ramai pimpinan akan turun,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




