am@hmetro.com.my
Seremban: Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, membidas kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang menyifatkan penyertaan parti itu dalam pilihan raya sekadar untuk ‘kacau daun’.
Bagi Muhyiddin, kenyataan Ahli Parlimen Kota Tinggi itu dilihat tidak matang dan seolah-olah memperlekeh keupayaan dan pengalaman pimpinan parti berkenaan.
“Ini sistem demokrasi. Khaled ahli politik yang agak lama dan matang, pernah menjadi menteri dan masih jadi menteri.
“Tapi cakap tu macam budak-budak. Macam kita ni sampah, kita ni tak berguna, tak ada pengalaman,” katanya kepada pemberita selepas hadir dalam Program Rapat Rakyat di Taman Sri Pulai di sini, malam ini.
Sebelum ini, Mohamad Khaled menyifatkan BERSATU hanya ‘kacau daun’ pada PRN Negeri Sembilan dan meminta pengundi memastikan parti itu tidak memenangi sebarang kerusi.
Muhyiddin turut mempersoalkan perbandingan rekod pengalaman pentadbiran antara beliau dan Menteri Pertahanan itu, selain isu menyertai arena politik tanah air dengan matlamat yang jelas.
Beliau berkata, pimpinan dan ahli BERSATU bertanding atas dasar demokrasi serta berhasrat meraih kemenangan, bukannya hadir untuk mengganggu atau memecahkan undi pihak lain.
Sehubungan itu, Muhyiddin mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak mengeluarkan kenyataan berbentuk hinaan atau memperlekehkan kesungguhan parti itu.
“Banyak mana pengalaman Khaled dengan pengalaman saya sebagai contoh? Atau pengalaman parti kita sebagai contoh?
“Kita bukan main-main masuk (PRN) ni ‘kacau daun’ ke apa, kita nak menang. Boleh cakap macam tadi, kita nak menang. Jadi jangan perlekehkan kita (BERSATU),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




