Nahas Lebuhraya Senai-Desaru: Seorang lagi maut, kenderaan terbakar bawa rokok seludup

Nahas Lebuhraya Senai-Desaru: Seorang lagi maut, kenderaan terbakar bawa rokok seludup

am@hmetro.com.my

Kota Tinggi : Seorang lagi maut menjadikan tiga terkorban dalam kemalangan tiga kenderaan yang mana dua daripada kenderaan itu terbakar di Kilometer 56 Lebuhraya Senai-Desaru di sini, hari ini.

Dalam kemalangan itu, sebuah Toyota Fortuner yang terbakar turut didapati membawa rokok seludup.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, terdahulu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kota Tinggi menerima maklumat mengenai kemalangan itu jam 11.45 pagi.

Beliau berkata, kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu Honda CRV dipandu seorang wanita perempuan tempatan berusia 25 tahun; Toyota Fortuner dipandu seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun dan sebuah Volkswagen Golf dipandu seorang lelaki yang belum dikenal pasti dan tiga penumpang lelaki juga belum dikenal pasti.

“Kemalangan berlaku apabila Toyota Fortuner itu masuk ke laluan bertentangan iaitu laluan Desaru menghala ke Senai dan Honda CRV yang berada di laluan terbabit sempat mengelak.

“Volkswagen Golf yang berada di belakang Honda CRV bagaimanapun gagal mengelak dan bertembung dengan Toyota Fortuner berkenaan.

“Semua mangsa dalam kemalangan itu sempat dikeluarkan oleh orang awam sebelum terbakar,” katanya.

Beliau berkata, Toyota Fortuner itu disyaki membawa muatan rokok seludup dan kes disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Tinggi.

Katanya, dalam kemalangan itu, pemandu dan dua penumpang Volkswagen Golf maut yang mana dua meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.

“Seorang lagi penumpang kereta itu sedang mendapatkan rawatan di HSI. Pemandu Toyota Fortuner juga parah dan sedang mendapatkan rawatan di hospital sama.

“Pemandu Honda CRV tidak cedera,” katanya.

Yusof berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berkenaan kejadian itu diminta untuk berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Zamiruddin Yaakob di talian 011-3910 5277.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top