Pusara Nurly Shahirah sering diziarahi, rumah jadi tumpuan lihat al-Quran tulisan tangan

Pusara Nurly Shahirah sering diziarahi, rumah jadi tumpuan lihat al-Quran tulisan tangan

nfazlina@nstp.com.my

Pasir Puteh: Walaupun hampir setahun berlalu, pusara Allahyarham Nurly Shahirah Azman, 23, masih tidak putus-putus dikunjungi orang ramai setiap hari.

Penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu bersama 14 rakannya terkorban dalam tragedi menyayat hati di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik pada 9 Jun 2025.

Setiap hari, purata pengunjung yang datang menziarahi pusaranya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir, Besut, sekitar 20 individu termasuk dari luar negara.

Selain mengunjungi pusara Allahyarham, orang ramai turut berkunjung ke rumah keluarganya untuk menyaksikan sendiri naskah al-Quran tulisan tangannya.

Bapa Allahyarham Nurly, Azman Mohamad, 65, berkata, dia sendiri tidak menyangka sejak kejadian itu, masih ramai yang datang berkunjung menziarahi kediamannya dan pusara anaknya.

Disebabkan itu, katanya, dia tidak boleh meninggalkan rumah agak lama kerana kasihan kepada pengunjung yang datang terutama dari lokasi jauh.

“Alhamdulillah, rezeki arwah anak saya yang dekat dengan al-Quran ketika hayatnya kini boleh dilihat apabila selepas setahun, masih ramai yang datang mengunjungi pusaranya.

“Mereka yang datang bukan sahaja dari dalam negara sebaliknya dari luar negara seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei.

“Mereka yang datang bukan ada pertalian darah dengan kami, sebaliknya apabila ditanya, mereka memaklumkan hati mereka terdetik untuk datang menziarah pusara Allahyarham dan melihat naskah al-Quran milik arwah.

“Disebabkan tidak mahu menghampakan pengunjung, saya tidak meninggalkan kediaman dalam tempoh lama kerana dari pagi hingga petang, purata pengunjung yang datang sekitar 20 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tautan Kasih dan Ukhwah UPSI Bersama Waris Insiden Gerik 2025, di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff.

Media sebelum ini melaporkan kemalangan membabitkan sebuah bas dalam perjalanan menuju ke kampus UPSI dari Jerteh, Terengganu dengan sebuah Perodua Alza di Gerik pada jam 1.10 pagi itu mengorbankan 15 penuntut UPSI.

Selain Nurly Shahirah, kemalangan itu turut meragut nyawa Sufea Adela Maslihaizan, 21, Mohammad Aqil Taqiudin, 21, Anis Soffiyya Md Zaidi, 20, Nur Ainul Qistina Mat Ali, 21, Muhammad Adib Hazim Halim, 21, dan Wan Nur Suhaila Wan Mohammad, 22.

Turut meninggal dunia Fakhrul Arif Rosdi, 20, Nurul Fatihah Abu Setaman, 22, Nur Dalila Farhana Mohamad Isma, 21, Nurul Izyanti Muhamad Azahar, 21, Nur Amni Nadiah Nik Nor Zabir, 21, Muhammad Mustaqim Rosde, 21, Nor Ayuni Maslan, 21, dan Fatin Nasrien Fadli, 22.

Mengulas lanjut, Azman berkata, sehingga kini hampir setiap hari dia mengunjungi pusara anak bongsu daripada tiga beradik itu bagi melepaskan rindu.

“Saya reda dan tidak pernah menyalahkan sesiapa berhubung tragedi yang menyebabkan saya kehilangan anak buat selama-lamanya kerana menganggap apa yang berlaku adalah takdir Allah.

“Boleh dikatakan hampir setiap hari saya akan ke pusara arwah bagi melepaskan rindu dan sebahagian barangan milik arwah juga diberikan kepada rakan-rakannya sebagai tanda kenangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top