ahm@hmetro.com.my
Bachok: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menumpukan penyelesaian masalah bekalan air yang menjejaskan sektor pertanian dengan melaksanakan 18 projek infrastruktur air membabitkan peruntukan RM400 juta, di seluruh negara.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPKM, Datuk Luqman Ahmad berkata, ini termasuk penyelesaian bagi masalah perairan di kawasan sawah padi yang menjejaskan hasil petani.
Katanya, peruntukan itu adalah sebahagian daripada peruntukan diterima KPKM pada Belanjawan 2026 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lalu.
“Daripada RM400 juta itu, sebanyak RM28 juta diberikan kepada projek membina Stesen Pam Kasa Baru di Pasir Mas dengan projek naik taraf sedia ada serta lain-lain kerja berkaitan di Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Jajahan Pasir Mas.
“Lagi 17 projek kita akan perincikan dalam mesyuarat esok namun di setiap lima tahun itu, kita akan adakan projek yang babitkan penyelesaian isu air,” katanya ketika ditemui dalam lawatan di sawah padi Kampung Keting, di sini, hari ini.
Katanya, isu air menjadi tumpuan utama kerajaan dalam membantu petani meningkatkan hasil pertanian negara selain bantuan input pertanian seperti baja dan racun.
“Kita akan buat secara berperingkat sebab faham keupayaan kerajaan dan tak mungkin dapat dilakukan dalam tempoh setahun, namun kita sering bangkitkan untuk pastikan kaedah terbaik untuk selesaikan masalah air,” katanya.
Luqman berkata, selain masalah air, pesawah turut berdepan ancaman keladi agas yang turut menjejaskan pertumbuhan padi sekali gus menurunkan harga belian padi.
Sementara itu, Pengurus Besar KADA, Mohd Faizul Mustafa berkata, bagi projek Pam Kasa II itu dijangka memberi manfaat kepada 2,7000 petani yang mengusahakan tanaman padi seluas 10,000 hektar tanaman padi.
Katanya, projek dijangka disiapkan dalam tempoh dua hingga dua tahun setengah yang dijadikan sokongan kepada pam kasa 1 yang sedia ada.
© New Straits Times Press (M) Bhd




