Berlin: Jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann menyatakan keyakinannya terhadap pemain tengah Liverpool yang sedang dikritik, Florian Wirtz, betapa pemain itu akan menyerlah dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Bercakap di Belfast menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Ireland Utara, Nagelsmann berkata, masalah penyesuaian awal Wirtz adalah sesuatu yang ‘normal’.
“Saya tidak bimbang. Dia akan menyesuaikan diri dengan cepat dan menjaringkan gol untuk Liverpool,” kata jurulatih berusia 38 tahun itu.
“Dia akan mencipta banyak detik indah di Anfield.”
Wirtz masih belum menjaringkan gol atau mencatat sebarang bantuan gol dalam sembilan perlawanan EPL dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sejak menyertai Liverpool dari Bayer Leverkusen pada musim panas lalu dengan yuran perpindahan sebanyak £100 juta (RM563.97 juta).
Nagelsmann berharap Wirtz akan menjaringkan gol di Belfast untuk memulakan kebangkitannya, sambil menambah situasi itu baik untuk dirinya dan Jerman.
Jerman memulakan kempen kelayakan Piala Dunia mereka dengan langkah sumbang apabila tewas mengejut 0-2 di tempat lawan kepada Slovakia, namun bangkit dengan kemenangan sukar 3-1 ke atas Ireland Utara di Cologne.
Pasukan itu tampil lebih meyakinkan dalam kemenangan 4-0 ke atas Luxembourg pada Jumaat lalu, walaupun mereka mendapat kelebihan selepas lawan bermain dengan 10 orang hampir sepanjang perlawanan.
“Kami kalah satu perlawanan dan dalam kelayakan Piala Dunia, peluang tidak datang banyak kali,” kata Nagelsmann.
“Kami akan cuba dapatkan tiga mata. Kami boleh meletakkan diri kami dalam kedudukan yang baik perlu ambil langkah demi langkah.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




