redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kluang: “Dua bulan sebelum ‘pergi’, dia minta saya hadiahkan set kain kafan.
“Saya beritahu jangan cakap begitu dan rupa-rupanya, itu tanda dia nak pergi tinggalkan saya dengan anak-anak,”.
Itu kata Mohamad Azem Omar Haqim Mohd Kori, 35, atau mesra disapa Azem ketika berkongsi kisahnya yang kematian isteri tercinta, Farah Nurul Suhana Maulad Shamsudin pada 23 September lalu berpunca renjatan septik akibat jangkitan pada luka pembedahan kepala (kraniotomi) dengan komplikasi ketoasidosis diabetes.
Belum hilang kesedihan itu, Azem yang bekerja sebagai penyelia ladang diuji lagi dengan kehilangan bapa tercinta, Mohd Kori Awang yang meninggal dunia berikutan renjatan kardiogenik akibat serangan jantung (infarksi miokardium anteroseptal) selang enam hari selepas itu (29 September).
Azem mengakui tidak bersedia kehilangan dua insan tersayang dalam waktu terdekat kerana kedua-duanya ada tempat istimewa di hatinya.
Bagaimanapun, dia pujuk hati untuk reda kerana sedar kematian itu pasti dan tidak dapat melawan takdir Ilahi.
“Isteri asalnya diabetes dan Oktober tahun lalu, doktor sahkan dia ada ketumbuhan otak .
“Pada 4 September lalu, isteri menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dan ia berjaya malah sebelum masuk hospital, kami sekeluarga sempat pergi mandi di Pantai Mersing.
“Itu kenangan terakhir kami berjalan dan selepas balik ke rumah pada 9 September lalu pun, isteri masih okay, siap bermain dengan anak. Tapi 20 September lalu, arwah dimasukkan ke Hospital Kluang sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru sebelum meninggal dunia 4.45 pagi pada 23 September,” katanya.
Sebagai suami, Azem terkesan kerana masanya banyak dihabiskan dengan isteri dan anak di rumah namun tiada rezeki berada di sisi Allahyarham ketika pemergiannya.
“Hari isteri meninggal dunia, saya di Kluang dan dapat panggilan hospital jam 4.30 pagi sebelum tiba 7 pagi.
“Ikutkan tak bersedia dengan kehilangan isteri walaupun tahu dia sakit kerana kehidupan kami banyak berdua tanpa dunia luar. Pemergiannya ibarat berita yang datang mengejut dan tak pernah terfikir pun kerana anak masih kecil,” katanya.
Menurut Azem, dia akan cuba meneruskan hidup dengan anak tanpa isteri kerana apa pun yang terjadi, kebajikan zuriatnya tidak boleh diabaikan.
“Anak yang kecil tak tanya tapi sulung ya kerana dia rapat dengan emaknya. Tapi bila ada kelapangan, saya memang akan bawa anak ziarah pusara ibu mereka untuk lepas rindu.
“Saya pun cuba kumpul kekuatan sebenarnya nak terima isteri sudah tiada kerana dia ada dengan saya waktu susah dan senang ibarat tulang belakang serta nyawa saya.
“Kesetiaannya itu yang mahal dan harap Tuhan jauhkan jodoh saya kerana sekarang fikir nak besarkan anak saja,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




