am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Statistik kes buli di institusi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dikesan meningkat secara ketara dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, dengan hampir 70 peratus kes berlaku di sekolah menengah.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pada tahun lalu sahaja, sebanyak 7,681 kes direkodkan melalui statistik Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM), KPM.
Katanya, pada tahun 2023 sejumlah 6,528 kes dicatat, dan 3,883 kes pada tahun 2022.
“Berdasarkan statistik PDRM sehingga kelmarin, sejumlah 129 kes buli dilaporkan sejak Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 dikuatkuasakan. Pindaan ini dibuat bagi menangani buli secara lebih efektif dan menyeluruh.
“Selain itu, PDRM juga cakna akan peningkatan kes buli di bawah kendalian KPM dalam tempoh tiga tahun sejak 2022, dengan lebih 70 peratus daripadanya dilaporkan berlaku di sekolah menengah,” katanya dalam ucapan ketika melancarkan Program Kempen Anti Buli, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalannya, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad.
Mohd Khalid berkata, peningkatan kes buli itu menyebabkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyokong semua usaha kerajaan untuk mencegah dan membanteras kegiatan buli khususnya di sekolah bagi memastikan institusi pendidikan di negara ini kekal selamat dan bebas daripada salah laku pelajar.
“Mangsa buli akan mengalami kesan fizikal, mental, emosi dan tingkah laku bagi tempoh masa yang agak panjang.
“Selain kecederaan, mangsa mengalami trauma sehingga boleh menjejaskan prestasi akademik,” katanya.
Beliau berkata, mangsa buli seharusnya tidak takut bersuara dan perlu ke hadapan untuk melaporkan kepada pihak berkuasa.
“Kami menggalakkan murid untuk melaporkan insiden buli melalui saluran rasmi seperti Volunteer Smartphone Patrol (VSP). Jangan takut, kerana PDRM sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan dan perlindungan.
“Ibu bapa juga perlu sentiasa peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak. Jika ada tanda-tanda mencurigakan, segera hubungi pihak sekolah atau PDRM malah guru-guru pula disaran mencipta suasana kelas yang selamat dan kondusif,” katanya.
Dalam sidang akhbarnya, Mohd Khalid berkata, Kempen Anti Buli itu dilancarkan bukan sahaja untuk memastikan hubungan baik antara PDRM dan KPM terjalin malah memastikan pihak sekolah dan ibu bapa berada dalam sinergi yang sama iaitu memastikan keselamatan anak-anak terjamin.
“Pihak PDRM menempatkan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di setiap sekolah di seluruh negara dengan tujuan untuk memastikan segala perkara yang berlaku di peringkat sekolah dan asrama dapat disalurkan kepada pihak polis.
“Ini membolehkan tindakan awal, pantas dan tuntas diambil bagi menjamin keselamatan pelajar di sekolah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




