Jimmy-Pei Jing tersingkir awal di Malaysia Super 100

Jimmy-Pei Jing tersingkir awal di Malaysia Super 100

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu campuran profesional negara, Jimmy Wong-Lai Pei Jing, dikejutkan dengan kekalahan di pusingan pertama Malaysia Super 100 selepas tewas kepada pasangan Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Bernadine Wardana, dalam aksi di Kompleks Sukan Educity, Johor Bahru, hari ini.

Pasangan pilihan ketiga kejohanan yang menghuni ranking ke-39 dunia itu terpaksa akur selepas tumbang 17-21, 21-17, 21-14 kepada gandingan di ranking ke-159 dunia.

Kekalahan itu dianggap mengejutkan memandangkan Jimmy-Pei Jing tampil konsisten musim ini dengan lima penampilan di pentas final, termasuk muncul naib juara Terbuka Macau dan Masters Indonesia I.

Namun, kem badminton negara masih mampu menarik nafas lega apabila perseorangan lelaki, Eogene Ewe, berjaya melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan wakil China, Zhou Xin Yu, 21-19, 11-21, 21-14 dalam pertarungan sengit tiga set.

Pemain ranking ke-90 dunia itu bakal berdepan wakil Jepun, Riki Takei, bagi perebutan tempat ke pusingan ketiga.

Dalam acara beregu campuran, pasangan muda Liew Xun-Ho Lo Ee turut mara selepas bangkit menewaskan rakan senegara, Too Ming Yap-Lee Yu Shan, 19-21, 21-9, 21-13.

Mereka dijadual menentang gandingan Jepun, Yuta Watanabe-Maya Taguchi, di pusingan kedua.

Turut mencatat kemenangan ialah pasangan negara Wee Yee Tern-Clarissa San, yang mudah menundukkan rakan senegara, Ooi Yi Ping-Seong Ler Yee, 21-4, 21-14 untuk mengesahkan tempat ke pusingan kedua.

Gandingan itu akan berdepan wakil China, Liao Pin Yi-Tang Rui Zhi, bagi perebutan tiket ke suku akhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top