Bilangan bilionair negara dijangka melonjak 39 peratus

Bilangan bilionair negara dijangka melonjak 39 peratus

Kuala Lumpur: Bilangan penduduk berstatus bilionair di Malaysia dijangka melonjak sebanyak 39 peratus menjelang tahun 2031, sekali gus meletakkan negara di kedudukan ke-15 dunia bagi kategori negara yang memiliki lebih daripada lima bilionair pada 2026.

Laporan Kekayaan (The Wealth Report) oleh Knight Frank mendedahkan, unjuran kenaikan itu mencerminkan pecutan dramatik dalam penciptaan kekayaan di seluruh dunia meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik dan kadar faedah yang meningkat.

Ketua Penyelidik Global Knight Frank, Liam Bailey berkata, dunia sedang menyaksikan peralihan paling ketara dalam pengagihan kekayaan global dalam sejarah moden yang diterajui oleh ekonomi yang semakin matang.

“Meskipun terdapat kejutan geopolitik dan tekanan inflasi, modal swasta menunjukkan daya tahan yang luar biasa. Keputusan terbaharu kami mencerminkan pecutan struktur yang mendalam dalam penciptaan kekayaan di seluruh dunia,” katanya.

Di peringkat domestik, golongan individu bernilai bersih ultra tinggi (UHNWI) di Malaysia yang memiliki aset melebihi AS$30 juta (RM118.70 juta) dijangka berkembang sebanyak 20.1 peratus dalam tempoh lima tahun.

Angka itu membabitkan peningkatan daripada 1,566 orang pada 2026 kepada 1,881 orang menjelang 2031, iaitu lonjakan ketara berbanding kadar pertumbuhan 6.5 peratus yang dicatatkan antara 2021 hingga 2026.

Pengarah Urusan Kumpulan Knight Frank Malaysia, Keith Ooi berkata, kenaikan jumlah individu ultra kaya ini didorong oleh pengembangan ekonomi negara yang kukuh selain prestasi ringgit yang stabil.

“Faktor ini turut disokong pasaran modal aktif dengan aktiviti penyenaraian yang mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang memberangsangkan sejak 2020,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top