'Perlu adakan Sidang DUN Khas' – UMNO Negeri Sembilan

'Perlu adakan Sidang DUN Khas' – UMNO Negeri Sembilan

am@hmetro.com.my

Seremban: UMNO Negeri Sembilan berpandangan terdapat keperluan untuk mengadakan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas bagi menangani krisis politik yang sedang berlaku ketika ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, adalah dikhuatiri akan wujud ketidaktentuan dalam pentadbiran kerajaan negeri jika Sidang DUN ditangguh dalam tempoh enam bulan seperti dimaklumkan.

“Jika mereka bertahan sehingga enam bulan (menangguhkan Sidang DUN), kerajaan akan diurus dalam keadaan tidak stabil dan pelbagai masalah akan timbul sekali gus dikhuatiri akan mewujudkan ketidaktentuan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Malah, kesan daripada itu berkemungkinan akan membuka ruang kepada pelbagai masalah baharu. Oleh itu, Sidang DUN khas mesti dipanggil untuk memutuskan segala krisis politik yang berlaku demi kestabilan dan kepentingan kerajaan negeri,” katanya, di sini.

Terdahulu, istiadat pembukaan persidangan Negeri Sembilan Ke-15 dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada Khamis lalu dan sepatutnya bersambung pada Isnin hingga hari ini, namun diputuskan ditangguh hingga suatu tarikh akan dimaklumkan kemudian.

Keputusan itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika ditemui media sejurus selesai istiadat perasmian pembukaan persidangan.

Jalaluddin yang juga ADUN Pertang berkata, sekiranya persidangan DUN tidak diadakan dalam masa terdekat, ia boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri selain memberi kesan kepada kelancaran urusan dasar kerajaan.

Beliau berkata, Yang di-Pertua DUN, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman perlu mengambil tindakan segera dengan memanggil Sidang DUN khas bagi membincangkan serta memutuskan langkah penyelesaian terhadap krisis politik yang sedang berlaku.

“Langkah itu dilihat sebagai satu-satunya pilihan bagi mengembalikan keadaan kepada landasan biasa dan memastikan pentadbiran negeri dapat berjalan dengan lebih stabil.

“Pada pandangan saya, sidang khas dewan mesti dipanggil dalam masa terdekat, kita tiada pilihan kedua,” katanya.

Krisis politik di Negeri Sembilan ketika ini dilaporkan tercetus berikutan kemelut membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri yang membabitkan Yang di-Pertuan Besar serta Undang Yang Empat.

Situasi bertambah tegang apabila dilaporkan berlaku tindakan pecat memecat jawatan membabitkan Undang Sungei Ujong dan Yang di-Pertuan Besar, yang membawa kepada penangguhan Sidang DUN, baru-baru ini.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang Negeri Sembilan Mohamad Hanifah Abu Baker mendedahkan lima ADUN Perikatan Nasional (PN) mengemukakan tawaran bertulis kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama demi memastikan kestabilan politik negeri kembali pulih.

Namun, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan bahawa beliau akan terus menjalankan tugas seperti biasa seperti dititah oleh Tuanku Muhriz meskipun mengetuai kerajaan minoriti dan menolak keperluan untuk membubarkan DUN.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan menyelesaikan kemelut politik di Negeri Sembilan menerusi saluran politik.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO itu berkata, amat penting ketika ini adalah mencari penyelesaian terbaik bagi menentukan kerajaan yang kukuh di Negeri Sembilan supaya dapat terus melayani dan mendepani permasalahan rakyat.

“Saya harap kita ikuti Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan juga peraturan Dewan Undangan Negeri (DUN) khususnya di Negeri Sembilan.

“Pada hemat saya (ia) tidak semudah itu dan paling baik ialah mengikuti semua peraturan yang ada serta prosedur bagi menentukan bahawa peraturan itu diikuti terlebih dulu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top