Ancaman 'bom senyap' di Gaza

Ancaman 'bom senyap' di Gaza

Baitulmaqdis: Bahan letupan yang tidak meletup di Gaza menimbulkan risiko “amat besar” kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal apabila pulang ke rumah semasa gencatan senjata diterajui Amerika Syarikat (AS).

Amaran itu dikeluarkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Handicap International pada Selasa sambil menggesa kemasukan peralatan yang diperlukan untuk aktiviti penyahboman.

“Risikonya amat besar apabila dianggarkan 70,000 tan bahan letupan digugurkan di Gaza sejak perang bermula,” kata pengarah pertubuhan itu untuk wilayah Palestin, Anne-Claire Yaeesh.

Handicap International ialah sebuah pertubuhan yang mempunyai kepakaran dalam pembersihan periuk api dan bantuan kepada mangsa periuk api.

Bahan letupan merangkumi bom atau bom tangan yang tidak meletup sehinggalah peluru biasa kini menjadi pemandangan biasa di Gaza sepanjang dua tahun perang yang dicetuskan oleh serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

“Lapisan runtuhan dan tahap pengumpulannya amat tinggi,” kata Yaeesh sambil menambah risiko diburukkan lagi oleh keadaan persekitaran yang “amat kompleks” disebabkan ruang terhad di kawasan bandar yang padat.

Januari lalu, Perkhidmatan Tindakan Periuk Api Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNMAS) menganggarkan “lima hingga 10 peratus” daripada peluru yang dilancarkan ke Gaza tidak meletup.

Sejak itu, pertempuran berterusan dengan tentera Israel melancarkan operasi besar-besaran pada pertengahan September di Bandar Gaza, manakala gencatan senjata ketiga berkuat kuasa Jumaat lalu.

Ketika dihubungi AFP, UNMAS berkata, sekatan sejak dua tahun lalu menyebabkan pasukannya “tidak dapat menjalankan operasi tinjauan berskala besar di Gaza” dan tiada gambaran menyeluruh mengenai ancaman itu.

Bekas pakar pemusnah bom tentera British, Nicholas Orr memberitahu AFP pada Mac lalu bahawa beliau tidak mendapat kebenaran menjalankan tugas pemusnahan bom kerana pemantauan udara Israel mungkin tersilap menganggapnya sebagai militan.

Bagaimanapun, UNMAS menegaskan sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu, permintaan untuk kepakaran teknikal “meningkat secara mendadak” untuk pelbagai misi kemanusiaan.

Dalam beberapa hari akan datang, usaha akan tertumpu untuk memastikan keselamatan operasi pengurusan sisa runtuhan dan membersihkan serpihan terutamanya di sepanjang jalan raya yang digunakan penduduk.

Namun, agensi PBB itu berkata, pihaknya masih belum mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa Israel untuk membawa masuk peralatan yang diperlukan bagi memusnahkan bahan letupan itu dan kini mempunyai tiga kenderaan berperisai “di sempadan menunggu untuk memasuki Gaza.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top