Pembangkang 'tak faham', pemuliharaan bukan hanya Carcosa Seri Negara – PM

Pembangkang 'tak faham', pemuliharaan bukan hanya Carcosa Seri Negara – PM

bhnews@bh.com.my

Putrajaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pembangkang ‘tidak faham’ apabila mempertikaikan pelaburan RM600 juta bagi pemuliharaan warisan bangunan di Kuala Lumpur, termasuk di Carcosa Seri Negara.

Perdana Menteri menegaskan, pelaburan yang dibuat oleh Khazanah Nasional Berhad adalah untuk menjaga kepentingan sejarah dan budaya negara.

“Dia (pembangkang) tak faham, kita jaga (pulihara) warisan sejarah kekuatan Melayunya dan sejarah kita dari bangunan Carcosa Seri Negara, padang Dataran Merdeka, Kereta Api Tanah Melayu, bangunan Daya Bumi sehingga Carcosa Seri Negara.

“Itu seolah-olah satu taman warisan. Kuala Lumpur itu dikenali sebagai sesuatu yang moden teknologinya tetapi yang segar budayanya dan apabila kita mula labur di situ, akan menarik minat pelaburan lain berkembang di sekitarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Ketua Pembangkang sebelum ini mempersoal langkah kerajaan mengumumkan pelaburan RM600 juta daripada Khazanah Nasional Berhad untuk kerja-kerja membaik pulih bangunan bersejarah, Carcosa Seri Negara.

Datuk Seri Hamzah Zainudin membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat, menyifatkan langkah itu ‘melencong’ daripada tujuan dan peranan sebenar penubuhan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) yang sepatutnya mengukuhkan daya tahan ekonomi serta menjana pulangan jangka panjang untuk rakyat.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, nilai RM600 juta terbabit bukan wang kebajikan sebaliknya adalah untuk menjaga kepentingan sejarah dan usaha itu amat disenangi Sultan Selangor kerana membabitkan pemuliharaan bangunan Sultan Abdul Samad.

“Saya sebut di sini warisan ini kerana soal sejarah dan budaya kita, Melayu kemudian kita rangkul kekuatan kaum-kaum, Melayu terutama Cina, India dan sebab itu, kalau lihat pelan Carcosa Seri Negara itu, setiap biliknya bawa gambaran dan mempamerkan kekuatan budaya kita, segala suku kaum, hasil dalam negeri ini juga satu tarikan kepada pelancong.

“Dan kalau tahu sejarah Carcosa Seri Negara ini, Carcosa itu dianggap bangunan paling hebat, atas bukit di Kuala Lumpur. Carcosa Seri negara ini simbol kemegahan dan bangunan kebanggaan Kuala Lumpur kerana (menjadi) mercu di atas (bukit),” katanya.

Perdana Menteri berkata, biarpun usaha pemuliharan itu dilaksanakan oleh Khazanah, kerajaan masih tetap memantau supaya ada elemen komersial, pelaburan dan keindahan bagi kota raya berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top