Hannah puji kebangkitan luar biasa Faisal

Hannah puji kebangkitan luar biasa Faisal

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyifatkan Faisal Halim melakukan kebangkitan luar biasa selepas pemain sayap kebangsaan itu tampak sudah menemui semula sentuhan berbisanya bersama Harimau Malaya.

Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey menyumbang satu gol ketika membantu Harimau Malaya bangkit dari ketinggalan untuk membelasah Laos 5-1 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Ia menjadi jaringan kedua diledak Faisal dalam kempen kelayakan kali ini selepas turut menyumbang satu gol ketika membantu skuad negara menewaskan Laos 3-0 pada aksi ketiga Kumpulan F di Vientiane, Khamis lalu.

Jaringan yang diledak itu menyaksikan pemain berusia 27 tahun itu kembali mengaktifkan akaun jaringannya bersama Harimau Malaya apabila hampir dua tahun tidak menyumbang gol untuk skuad negara selepas menjadi mangsa simbah asid pada Mei tahun lalu.

Malah, aksi menentang Laos malam tadi menyaksikan pemain Selangor itu kembali diletakkan dalam kesebelasan utama Harimau Malaya buat kali pertama selepas tragedi malang menimpa dirinya.

Gol menerusi sepakan percuma menarik Faisal menyamakan kedudukan selepas skuad negara ketinggalan 0-1 sebelum rehat, sekali gus mencetuskan kebangkitan luar biasa pasukan.

Hannah menerusi catatan di laman Facebook turut mengucapkan tahniah kepada Harimau Malaya atas kejayaan menewaskan Laos selain berterima kasih kepada penyokong terutama Ultras Malaya.

“Tahniah Harimau Malaya atas kemenangan bergaya 5-1 ke atas Laos dalam kelayakan Piala Asia 2027.

“Kredit kepada Ultras Malaya dan semua peminat yang terus setia bersama pasukan ketika kita berada di puncak mahu pun saat sukar. Semangat anda adalah nadi bola sepak negara.

“Tahniah juga kepada Faisal Halim atas kebangkitan yang luar biasa, sebuah kisah ketabahan dan keberanian yang mengingatkan kita bahawa semangat tidak boleh dipatahkan.

“Syabas kepada ketua jurulatih, Peter Cklamovski dan seluruh pasukan atas persembahan mantap malam ini (semalam). Teruskan momentum ini,” kata Hannah.

Pada aksi malam tadi, Harimau Malaya dikejutkan dengan jaringan pembukaan Chanthavixay Khounthoumphone pada minit ke-20 sebelum Faisal mencetuskan kebangkitan skuad negara apabila meledak gol penyamaan menerusi sepakan percuma pada minit ke-59.

Skuad Cklamovski kemudian memperoleh empat lagi gol selepas itu dengan penyerang naturalisasi, Romel Morales menyumbang dua jaringan (minit 65 dan 70) sebelum jaringan sendiri Khammanh Thapaseut (minit 80) dan gol Paulo Josue (minit 82) selepas pemain naturalisasi itu berada di padang tidak sampai seminit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top