Aura 70-an kekal hidup, 4 sahabat 'sekepala' kongsi minat sama

Aura 70-an kekal hidup, 4 sahabat 'sekepala' kongsi minat sama

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Bangi: Empat lelaki ini dilahirkan dalam zaman dan generasi berbeza namun menjadi sahabat kerana berkongsi minat sama iaitu menggayakan fesyen era 70-an.

Disebabkan itu, Mohammad Shahidan Mohd Idris, 32; Taha Gisan, 48; Mohd Fuad Shamsudin, 56 dan Hamri Baktir, 59, boleh ‘sekepala’ walaupun berbeza umur dan latar belakang kerjaya.

Bercerita lanjut, Taha yang juga bapa tiga anak dan aktif di TikTok berkata, dia minat menggayakan fesyen 70 an sejak empat tahun lalu dan sebelum itu lebih cenderung mengumpul barangan vintaj koleksi satu jenama sukan terkenal.

“Saya kumpul barang kemudian jumpa kawan lama dan sejak itu terjebak dengan fesyen 70- an pula dengan beli pakaian secara dalam talian, daripada kawan dan ada juga di kedai ‘bundle’ (pakaian terpakai).

“Sejak gayakan pakaian sebegini, selalu juga dengar ada yang kata saya terperangkap dalam era 70-an dan apa dipakai tak sesuai diperagakan pada zaman sekarang… tapi saya bangga tunjuk pakaian ini kepada generasi baru.

“Saya nak tunjuk ini pakaian dipakai pada era dulu dan ia masih ada. Jadi selagi mampu, saya nak teruskan (bergaya era 70 an) kerana kalau bukan saya dan kawan, siapa lagi?,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Rakannya, Mohd Fuad yang menetap di Sendayan, Negeri Sembilan berkata, dia membesar pada era 70 an dan sempat menyaksikan kegemilangan zaman seluar potongan ‘bell bottom’ yang menjadi trend ketika itu.

Mohd Fuad mengakui banyak perubahan seiring peredaran zaman namun fesyen era 70 an tetap sebati dengan jiwanya.

“Di rumah saya ada banyak koleksi pakaian sebegini yang diletakkan dalam bilik khas… saya ada juga simpan motosikal lama dan piring hitam kerana ia jiwa saya.

“Hari biasa dan waktu bertugas saya tak pakai macam ini, selalunya bila ada acara baru gayakan fesyen begini . Tapi kalau boleh nak teruskan sepanjang hayat kerana jika tidak, fesyen ini ditelan zaman dan generasi baru tak kenal.

“Sebagai orang lama, bagus kita teruskan dan tak rasa nak putus asa pun kerana isteri dengan anak faham malah mereka sokong kerana tahu minat saya,” katanya.

Bagi Mohammad Shahidan pula, pemakaian fesyen era 70-an memberinya aura berbeza dan kerana itu dia minat menggayakannya walaupun lahir dalam era 90-an.

Mohammad Shahidan yang menetap di Taman Kinrara, Puchong, Selangor berkata, minat itu semakin bertambah selepas berkenalan dengan tiga otai fesyen 70 yang kini menjadi sahabatnya iaitu Taha, Mohd Fuad dan Hamri.

“Saya mula minat fesyen 70 an waktu umur belasan tahun selepas membelek gambar lama bapa yang nampak kemas dan bergaya malah bagi saya, ia berbeza dengan zaman lain.

“Ia kerana satu dunia gayakan pakaian sama pada era 70-an termasuk China dan Amerika Syarikat (AS) antaranya seluar ‘bell bottom’ juga baju kolar besar.

“Cuma saya mula minat berpakaian begini tiga tahun lalu selepas kenal dengan tiga abang saya ini (Taha, Mohd Fuad dan Hamri)… rasa macam aura lain sebab pakai begini jadi perhatian orang tak kira lapisan umur.

“Bagi saya, fesyen ini masih relevan dan kawan pun bagi dorongan, mereka tak kata saya ketinggalan. Saya harap generasi baru pun ada minat sama kerana bila bergaya sebegini, kita dapat mengimbau memori era 70-an walaupun tak membesar pada zaman itu,” katanya yang bekerja sebagai kru di sebuah syarikat televisyen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top