Madrid: Jude Bellingham mesti beraksi bersama England pada Piala Dunia 2026.
Itu pandangan rakan sepasukannya di Real Madrid, Thibaut Courtois, yang berkata dia “tidak dapat membayangkan” skuad Three Lions di Amerika Syarikat tanpa kehadiran pemain tengah itu.
Bellingham tidak tersenarai dalam skuad kendalian Thomas Tuchel bagi aksi antarabangsa bulan ini kerana masih dalam proses mendapatkan semula kecergasan selepas menjalani pembedahan bahu.
Namun Courtois yakin pemain berusia 22 tahun itu akan kembali beraksi pada November dan turut bersama England pada kejohanan utama musim panas tahun depan.
Apabila ditanya sama ada dia menjangkakan Bellingham akan menyertai kejohanan Piala Dunia di Amerika Syarikat, penjaga gol Belgium itu berkata: “Ya, sudah tentu.
“Saya tidak rasa kita boleh bayangkan England tanpa Jude. Dia seharusnya berada dalam skuad England, sudah pasti.”
Bellingham setakat ini sudah membuat lima penampilan bersama Real sejak menjalani pembedahan selepas Piala Dunia Kelab pada musim panas lalu.
Bagaimanapun, dia hanya sekali disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika kekalahan 2-5 kepada Atletico Madrid dalam saingan derbi Madrid.
Courtois, yang hampir mengesahkan tiket ke Piala Dunia selepas membantu Belgium menewaskan Wales 4-2 pada Isnin untuk mendahului Kumpulan J, menambah:
“Saya tidak fikir itu satu masalah. Jude baru pulih daripada kecederaan dan pembedahan, jadi dia perlu kembali mendapatkan kecergasan.
“Dia perlu bermain, tetapi buat masa ini dia belum beraksi banyak minit. Jadi untuk England dan Real Madrid, adalah lebih baik dia terus berlatih dan menambah kecergasan fizikal.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




