Kontraktor rugi RM231,200 selepas ditawar tender kerajaan tak wujud

Kontraktor rugi RM231,200 selepas ditawar tender kerajaan tak wujud

am@.metro.com.my

Pontian: Seorang kontraktor kerugian RM231,200 selepas diperdaya individu yang menawarkan tender kerajaan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, lelaki berusia 46 tahun itu dikatakan berurusan dengan individu terbabit yang menawarkan kontrak tender kerajaan bagi membekalkan set mesin jahit dan set pembekal cenderahati.

Katanya, untuk meyakinkan mangsa, suspek juga memaklumkan tawaran berkenaan bagi sebuah program yang akan dihadiri tetamu kenamaan semalam.

“Tertarik dengan tawaran itu, mangsa membuat beberapa transaksi secara atas talian ke beberapa akaun peribadi yang dinyatakan pada 13 dan 14 Oktober dengan jumlah keseluruhan RM231,200,00.

“Namun, apabila mangsa membuat semakan dengan menghubungi pihak jabatan kerajaan berkaitan untuk tujuan pengesahan program berkenaan, dimaklumkan tiada sebarang program pada tarikh yang dinyatakan, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammad Shofee berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi sepuluh tahun dengan sebatan dan juga denda.

Katanya, pihak polis menasihatkan orang ramai lebih cakna dan mengambil tahu trend semasa Jenayah Komersil bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

“Sekiranya menjadi mangsa penipuan, hubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 dengan seberapa segera sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang dari akaun suspek, ” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top