sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ratu trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yakin resipi utama kejayaan adalah memberi fokus sepenuhnya kepada kelebihan dan kekuatan diri sendiri berbanding ‘menyibukkan diri’ dengan hal lain sehingga boleh menjejaskan prestasi di Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang akan bermula hujung bulan ini.
Bagi Izzah, dia sedar lawannya mempunyai reputasi cemerlang, terutama dari England dan Wales, namun itu bukan alasan untuk mengabaikan tugasan penting yang perlu dilakukan dalam latihan.
“Bagi saya, untuk buat catatan peribadi terbaik (PB), saya hanya fokus kepada diri sendiri dan bukannya memikirkan masa yang dilakukan pelumba lain.
“Saya cuma mahu memperbaiki apa yang masih kurang dalam kayuhan saya dan memberikan yang terbaik apabila tiba hari perlumbaan,” katanya.
Dalam acara kelayakan pecut individu 200 meter (m), pelumba berusia 22 tahun itu memegang rekod peribadi terbaik 10.541 saat (s), manakala jaguh England, Katy Marchant, memiliki catatan 10.787s dan juara Olimpik 2024 dari Wales, Emma Finucane, mencatat 9.759s.
Selain itu, Izzah berkata, latihan ketika ini turut memberi penekanan kepada aspek kelajuan dan kuasa, selain memastikan keadaan fizikal serta mental berada pada tahap terbaik menjelang temasya itu.
“Persiapan kami sekarang lebih menjurus kepada latihan spesifik yang memberi fokus kepada kelajuan dan kekuatan, manakala dari segi mental serta fizikal saya rasa kami sudah bersedia.
“Yang penting sekarang ialah mengekalkan konsistensi sehingga hari pertandingan supaya semua perancangan berjalan seperti yang diharapkan,” katanya.
Pelumba kelahiran Sungai Petani itu dijadual menggalas cabaran negara dalam acara pecut individu, keirin dan 500m ujian masa pada penampilan keduanya di pentas Sukan Komanwel selepas membuat penampilan sulung di Birmingham 2022.
Selain Izzah, skuad berbasikal trek negara turut mempertaruhkan Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Lau New Joe dan Nur Alyssa Mohd Farid dalam usaha memburu kejayaan di Glasgow yang berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




