'Pertahankan negara bukan di bahu ATM semata-mata, ia tanggungjawab semua'

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ancaman terhadap keselamatan negara bukan lagi berbentuk konvensional, tetapi bersifat hibrid yang turut dikenali sebagai ‘peperangan kognitif’.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ancaman itu membabitkan penggunaan strategi terancang untuk mempengaruhi cara kita berfikir, menilai maklumat dan membuat keputusan sebelum bertindak.

“Sebagai Naib Presiden yang diberi amanah menjawat jawatan Menteri Pertahanan, saya mahu mendedahkan bahawa ia dilakukan dengan sistematik melalui maklumat salah, berita palsu atau propaganda melalui digital, eksploitasi algoritma serta operasi psikologi.

“Ia bertujuan untuk menentukan cara masyarakat berfikir dan bertindak supaya mewujudkan ketidakstabilan sosial, mencetuskan polarisasi, perpecahan dan ketidakharmonian dalam masyarakat.

“Perang kognitif seperti ini sangat berbahaya kerana ia boleh digunakan untuk melunturkan identiti kita, termasuk sebagai bangsa Melayu, dan mencetuskan perbalahan agama serta kaum yang serius,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, perkembangan ancaman hibrid termasuk ancaman perang kognitif menuntut Kementerian Pertahanan berusaha bagi membangunkan strategi tepat untuk menghadapinya.

“Pertahanan negara kini tidak lagi cukup dengan hanya memiliki aset tercanggih atau kesiapsiagaan anggota tentera semata-mata. Kita perlu membangunkan ketahanan rakyat yang menjadi salah satu komponen penting dalam pertahanan negara.

“Ini merujuk kepada keupayaan rakyat menghadapi cabaran atau krisis. Rakyat mampu menyesuaikan diri, bangkit semula dan terus berfungsi.

“Ketahanan rakyat adalah satu pencegahan yang mampu menjadi benteng dan perisai kuat kepada negara apabila berhadapan dengan ancaman,” katanya.

Menurut beliau, UMNO sebagai sebuah parti politik boleh memainkan peranan dengan menyumbang usaha membangunkan ketahanan rakyat dan negara.

“Kita bukan nak suruh rakyat angkat senjata tetapi kita mahu rakyat dipupuk dengan sikap dan nilai yang betul untuk mengurus ancaman serta cabaran seperti nilai patriotisme kepada negara.

“Kita semua selaku pemimpin UMNO memainkan peranan membangunkan ketahanan rakyat dengan tidak mengamalkan pendekatan ekstrim dan memastikan rakyat tidak mudah terpengaruh dengan propaganda yang memecah-belahkan,” katanya.

Sebagai penghargaan kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selaku perwira negara, UMNO memberi jaminan akan bersama-sama membantu membina ketahanan rakyat.

“UMNO akan pastikan untuk terus mewujudkan kesedaran dalam kalangan rakyat bahawa tanggungjawab mempertahankan negara bukan di bahu ATM semata-mata, tetapi ia tanggungjawab bersama,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top