Manila: Seorang wanita selamat melahirkan anak sulungnya di kawasan pemindahan di luar Hospital Perubatan Wilayah Davao (DRMC) di Tagum, Davao del Norte, selepas gempa bumi magnitud 7.4 melanda Davao Oriental, Filipina, Jumaat lalu.
Memetik GMA News Online, Jabatan Kesihatan (DOH) memaklumkan, kelahiran itu akan ditanggung sepenuhnya di bawah program Zero Balance Billing (ZBB).
Difahamkan, wanita berkenaan antara 663 pesakit dipindahkan sementara sebagai langkah berjaga-jaga susulan gegaran kuat itu.
Media sama melaporkan, semua pesakit dibenarkan kembali ke dalam hospital selepas penilaian mendapati struktur bangunan berada dalam keadaan selamat.
Dalam pada itu, DOH memaklumkan ibu dan bayi berkenaan kini stabil serta dinasihatkan hadir semula bagi pemeriksaan susulan.
Pesakit di hospital lain di wilayah berkenaan turut dipindahkan sementara ke ‘khemah triage’ atau khemah saringan sebelum dibenarkan masuk semula ke hospital masing-masing.
Antara hospital terbabit ialah Hospital Am Davao Occidental (DOGH) dan Pusat Perubatan Selatan Filipina (SPMC).
Susulan itu juga, SPMC turut mengaktifkan set penjana elektrik bagi memastikan bekalan kuasa tidak terganggu sepanjang proses pemindahan.
DOH juga mengadakan mesyuarat arahan kecemasan bagi menyelaras tindak balas segera terhadap keperluan komuniti terjejas.
Antara langkah segera diambil termasuk menaikkan Amaran Kod Putih dan mengaktifkan Pusat Operasi Kecemasan serta Sistem Arahan Insiden.
Pasukan Tindak Balas Kecemasan Kesihatan turut ditempatkan dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Sementara itu, Setiausaha DOH, Teodoro Herbosa mengarahkan semua hospital memberi tumpuan kepada keperluan penduduk terjejas dan memastikan fasiliti perubatan sentiasa bersedia.
Beliau turut mengaktifkan Pasukan Bantuan Perubatan Kecemasan Filipina (PEMAT) untuk dihantar ke Davao Oriental bagi membantu operasi tindak balas bencana.
© New Straits Times Press (M) Bhd




