MALAYSIA MENJADI TUMPUAN DALAM PERTUMBUHAN PKS SERANTAU MELALUI PERASMIAN SME VENTURE@ASEAN 2025

KUALA LUMPUR, 16 Oktober 2025 – YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, telah merasmikan SME Venture@ASEAN 2025 pada hari ini, yang diadakan bersempena Kepengerusian ASEAN − Malaysia tahun ini. Acara yang dianjurkan oleh SME Corp. Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ini berlangsung dari 16-18 Oktober 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Bertemakan “Bringing ASEAN Closer to You”, acara selama tiga (3) hari ini mempamerkan keupayaan eksport Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia dan turut menggalakkan perdagangan intra-ASEAN dengan menghimpunkan pemegang taruh utama. Acara ini juga menawarkan sesi padanan perniagaan iaitu ‘GoASEAN BizMatch’ yang menghubungkan PKS dengan syarikat utama (anchor) dan rakan dagang, yang dijangka berupaya menjana sehingga RM300 juta nilai potensi jualan.

Dalam ucapan aluannya, YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, menekankan bahawa SME Venture@ASEAN 2025 adalah lebih daripada sekadar acara, “Ia juga menampilkan forum mengenai Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), sesi pembentangan dana, bicara berskala kecil (pocket talk) mengenai bantuan eksport dan platform perkongsian pandangan yang membentuk ekosistem pemboleh utama perdagangan (trade enablers) dan rantaian perniagaan, mewujudkan sinergi yang kukuh untuk pertumbuhan serantau. Selain itu, Forum PKS

ASEAN 2025 juga akan dianjurkan di bawah konsep ‘oleh PKS, untuk PKS’.”

Sementara itu, menurut YBrs. Encik Rizal bin Dato’ Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur (Organising Chairman) SME Venture@ASEAN 2025, acara ini merupakan platform untuk menyerlahkan bukan sahaja produk dan perkhidmatan terbaik dari Malaysia dan ASEAN, tetapi juga membuktikan potensi pertumbuhan dan peluang yang besar merentasi sektor ekonomi dan sempadan. Dengan penyertaan daripada 370 pempamer tempatan dan antarabangsa dalam sektor berimpak tinggi dan produk pengguna, 300 sesi padanan perniagaan serta pelbagai forum dan aktiviti yang ditampilkan semasa acara tersebut, ia bakal mengalu-alukan lebih daripada 10,000 pelawat. Berikutan dengan itu, SME Venture@ASEAN 2025 telah diiktiraf oleh ASEAN Records sebagai Acara Perdagangan PKS ASEAN Terbesar 2025.

Bukan hanya acara perdagangan, SME Venture@ASEAN 2025 juga menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk orang ramai. Pengunjung boleh menyertai sesi Bicara Usahawan Selebriti, yang dihoskan oleh Datuk Aznil Haji Nawawi bersama tetamu Fouziah Gous, Pekin Ibrahim, Zahnita Wilson dan Kartika Wati, serta konsert mini yang menampilkan artis popular seperti Hael Husaini, Nadeera, dan Dato’ Nash.

Acara ini disokong oleh rakan strategik iaitu MATRADE, Tourism Malaysia, Media Prima Omnia, Malaysia Airlines dan Firefly, Pos Malaysia, TikTok Shop, Bubbles O2 serta penaja, PERODUA dan Toshiba Tec.

Turut hadir semasa majlis perasmian ialah YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican,  Ketua Setiausaha Perbendaharaan, YBhg. Dato’ Sri Khairul Dzaimee bin Daud, Ketua Setiausaha KUSKOP, YBhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Bernard Giluk Dompok, Pengerusi SME Corp. Malaysia dan YBrs. Encik Rizal bin Dato’ Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia.

Pembahagian Korporat
Malay News

Scroll to Top