Faris ayah tiri, Didi tunang saya – Puteri Balqis

Faris ayah tiri, Didi tunang saya – Puteri Balqis

Affan Rostam

Kuala Lumpur: Puteri Balqis, 18, tampil memberi penjelasan mengenai status dua jejaka yang sering dilihat bersamanya dalam hantaran media sosial.

Balqis atau lebih mesra disapa Aqish menjelaskan, lelaki dikenali sebagai Faris adalah bapa tiri manakala Didi adalah tunangnya.

“Faris, ayah tiri saya. Tetapi, saya tak suka panggil dia ayah tiri. Dia ialah insan yang melangkah ke hadapan sebagai seorang bapa dan ini pula Didi, tunang saya.

“Seorang lelaki asing dan seorang lagi lelaki asing, bertemu tanpa ada pertalian darah atau generasi. Penampilan, gaya dan personaliti yang sama, tapi tiada pertalian darah,” jelas Aqish sambil memperkenalkan dua lelaki terbabit dalam perkongsian video Instagram (IG).

Dalam hantaran sama, Aqish turut menjelaskan mengenai keperibadian Faris dan Didi sebagai insan yang kini hadir dalam keluarganya.

“Faris adalah kawan baik kami sejak lapan tahun lalu. Kemudian, dia menjadi suami kepada ibu saya. Faris berusia 25 tahun tak sepatutnya berada di sini.

“Pada usianya sekarang, dia layak dihormati oleh saya sebagai anaknya dan ibu saya sebagai isterinya.

“Didi pula sebagai tunang saya wajar menerima penghormatan. Ketika saya berkongsi mengenai keadaan ibu saya, dia terima dengan baik dan begitu juga keluarganya,” katanya.

Sebelum ini, Aqish mendakwa, ruangan komen dalam media sosialnya dibanjiri pelbagai tuduhan negatif termasuk dakwaan konon dia dan ibu sendiri menjalin hubungan terlarang sesama ahli keluarga.

Aqish turut menyifatkan semua tuduhan itu sebagai kejam terutama selepas melalui pelbagai cabaran keluarga dan kehidupan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top