Pelajar maut ditikam: 'Anak yang baik, tak susahkan keluarga, kami mahu keadilan' – Ibu

Pelajar maut ditikam: 'Anak yang baik, tak susahkan keluarga, kami mahu keadilan' – Ibu

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Anak saya seorang yang sangat aktif, berdisiplin dan tidak pernah menyusahkan kami.”

Itu luahan Wong Lee Ping, ibu kepada pelajar perempuan yang dibunuh secara tragis di sebuah sekolah di Bandar Utama, baru-baru ini.

Wong berkata, anak bongsunya itu seorang pelajar cemerlang yang meminati sukan dan sentiasa menguruskan jadual hariannya sendiri tanpa perlu diingatkan.

“Dia sangat berdikari. Semua aktiviti sekolah atau latihan sukan dia atur sendiri.

“Saya langsung tidak pernah risau tentang dia,” katanya ketika sidang media di rumah pengebumian Nirvana, di sini, hari ini.

Turut hadir di rumah duka hari ini ialah ayah tiri mangsa, How Boon Chin; bapa saudara mangsa, Wong Yoon Kim; Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim.

Menurutnya, anaknya baru sahaja memenangi pertandingan kejohanan badminton di ibu negara beberapa hari sebelum kejadian.

“Beberapa sebelum kejadian, pasukannya dapat tempat kedua.

“Anak saya memang jenis yang aktif dan suka bersukan,” katanya.

Wong berkata, anaknya juga seorang yang penyayang dan sentiasa mengambil berat terhadap ibu bapa.

“Dia selalu fikir tentang kami, sentiasa hormat ibu bapa. Dia seorang anak yang baik dan bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berharap masyarakat berhenti menularkan maklumat palsu mengenai kejadian itu dan memberi ruang kepada keluarganya untuk meratapi kehilangan.

“Anak saya mangsa sebenar. Kami cuma mahu keadilan dan kebenaran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top