am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Saksi kanak-kanak ke-15 dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa dia terdengar bunyi sesuatu jatuh sebelum terbangun dari tidur pada jam 3 pagi, 16 Julai lalu.
Peguam mewakili ibu arwah, Shahlan Jufri, berkata pelajar senior itu yang pertama menjumpai Zara Qairina dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Menurutnya, saksi itu bangun untuk melakukan aktiviti rutin membasuh pakaian dan mengumpul air untuk mandi sebelum ke musollah untuk solat Subuh berjemaah.
“Saksi berkata dia adalah pelajar pertama yang melihat seorang pelajar perempuan terbaring tidak sedarkan diri di kawasan longkang aras bawah blok asrama ketika dia menuruni tangga untuk menggunakan mesin basuh.
“Saksi berkata memang sudah menjadi rutin harian dia untuk bangun awal jam 3 pagi dengan bantuan jam loceng untuk urusan dobi menggunakan mesin basuh, seterika dan membuat takungan air untuk mandi. Biasanya saksi akan mandi, kemaskan diri dan bersiap awal ke musollah.
“Saksi berkata dia dalam keadaan ‘mamai’ ketika mendengar bunyi seperti benda jatuh itu. Selepas bangun, dia mengejutkan seorang kawan sebilik yang ingin bangun awal bersama,” katanya menceritakan semula keterangan saksi selepas selesai prosiding, hari ini.
Saksi katanya memberitahu mahkamah bahawa dia berada dekat tangga aras bawah apabila ternampak seorang pelajar perempuan terbaring dekat dengan longkang.
“Saksi memberitahu ketika kejadian saksi tidak memakai cermin mata menyebabkan dia tidak dapat melihat dengan jelas siapa pelajar yang terbaring itu.
“Saksi mengatakan ‘bangun, bangun’ kerana tidak mengecam Zara Qairina pada ketika itu. Selepas itu, saksi berkata dia terus ke pondok pengawal yang terletak di blok asrama sebelah untuk panggil pengawal keselamatan yang dikenali sebagai ‘Aunty Linah’.
“Saksi berkata Aunty Linah terkejut dengan apa yang terjadi dan terus mengenali pelajar yang terbaring itu adalah Zara,” katanya.
Katanya, selepas itu saksi diminta oleh Aunty Linah untuk mengambil telefon di pondok pengawal supaya dapat mengambil gambar dan membuat panggilan untuk mendapatkan pertolongan cemas.
Saksi berkenaan katanya menyifatkan keadaan Zara pada masa itu ‘macam susah bernafas’ tetapi tidak perasan jika ada keadaan luka dan berdarah atau tidak.
Selepas itu, katanya saksi melihat pengawal keselamatan itu mengejutkan seorang pelajar senior dan memanggil Ketua Warden.
Saksi memberitahu warden mengarahkan mereka mengangkat Zara untuk dipindahkan ke hadapan biliknya (warden) termasuk membersihkan kesan darah dan menunggu sehingga ambulans sampai.
Shahlan dibantu peguam Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.
© New Straits Times Press (M) Bhd




