suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membawa pulang semula aset dan wang bernilai RM15.5 bilion hasil usaha penguatkuasaan bersama pasukan petugas undang-undang dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata kejayaan itu membuktikan komitmen SPRM dalam memperkukuh usaha pencegahan rasuah serta memastikan tadbir urus dan integriti negara terus berada di landasan yang betul.
“Pendekatan pencegahan rasuah bukan hanya bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang, tetapi juga kefahaman pembuat dasar terhadap prinsip tadbir urus baik di peringkat negeri.
“Selain itu, negeri Johor yang pesat membangun perlu memberi perhatian terhadap isu integriti kerana negeri yang aktif dalam pembangunan ekonomi berisiko tinggi berdepan kes rasuah berskala besar,” katanya ketika berucap pada Sesi Libat Urus SPRM bersama Ahli Dewan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.
Dalam sesi itu, Azam turut menyentuh kempen ‘Keep Malaysia Clean’ (KMC) yang dilancarkan Perdana Menteri pada 1 Oktober lalu sebagai inisiatif nasional memperkukuh kesedaran integriti dan menolak rasuah di semua peringkat masyarakat.
“Kempen ini bukan sekadar slogan. Ia menggambarkan hasrat kita untuk membebaskan negara daripada rasuah dan salah guna kuasa.
“Kalau Johor ingin menggunakan tema ‘Keep Johor Clean’, itu juga amat dialu-alukan,” katanya.
Katanya, SPRM kini sedang membangunkan sistem perolehan berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan ketelusan dalam urusan kerajaan, yang akan diuji di Johor dalam masa terdekat.
“SPRM sentiasa bersedia membantu kerajaan negeri dalam memperkukuh tadbir urus dan memastikan integriti dalam setiap pelaksanaan dasar,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kerajaan negeri memberi komitmen penuh bekerjasama dengan SPRM dalam memperkukuh integriti serta meningkatkan kepercayaan pelabur terhadap Johor.
“Kerajaan negeri bersama barisan EXCO dan semua ahli DUN akan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada SPRM demi memastikan Johor terus berada di landasan tadbir urus yang baik, telus dan berintegriti.
“Kehadiran SPRM ke Johor adalah peluang penting untuk menambah baik sistem pentadbiran negeri khususnya dalam aspek integriti dan kecekapan,” katanya.
Dalam pada itu, Onn Hafiz turut mengucapkan tahniah kepada SPRM sempena Ulang Tahun ke-58 pada 1 Oktober lalu dan menyokong kempen KMC yang selari dengan aspirasi Johor dan Malaysia Madani.
“Kalau SPRM ada KMC, di Johor kita boleh bawa semangat ‘Keep Johor Clean (KJC)’.
“Ia selaras dengan hasrat kita membangunkan negeri berteraskan integriti dan tadbir urus baik,” katanya.
Beliau turut memaklumkan Johor kini mencatatkan pelaburan berjumlah RM56 bilion setakat pertengahan tahun ini, dan dijangka melebihi RM100 bilion menjelang akhir tahun.
Dalam sesi terbabit, dua sesi pembentangan membabitkan Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan (BDPP) SPRM mengenai Dasar dan Strategi Dalam Membanteras Rasuah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




